Maszlee Malik
MASZLEE MALIK

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, selain itu guru-guru hari ini juga amat perlu mempunyai daya kreativiti serta inovasi yang tinggi mengikut perkembangan semasa.

Tambah beliau, dalam era globalisasi yang dipenuhi cabaran, guru juga perlu berani membuat pelbagai perubahan bukan sahaja dari segi amalan di dalam bilik darjah tetapi perubahan minda dan juga sikap.

“Sehubungan itu, guru-guru hendaklah sentiasa bersedia dalam menempuhi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan dalam persekitaran yang kaya dengan teknologi maklumat, para guru mesti memainkan peranan sebagai ejen perubahan.

“Begitu juga daripada pihak pengurusan sekolah yang mana budaya teknologi maklumat perlu diintegrasikan dalam setiap pembelajaran di bilik darjah untuk mempengaruhi minat dan keupayaan pembelajaran sedia ada ke peringkat yang lebih berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia 2019 di Spice Arena di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan turut dihadiri Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Aminudin Adam.

Menurut Maszlee, pada masa ini banyak pihak bercakap mengenai Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima atau 5G.

“Walaupun teknologi 5G hanya akan dilancar dan digunakan secara komersial di negara ini menjelang 2021 atau 2022, saya amat berharap kita dapat bersedia memanfaatkan teknologi ini dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Maszlee berkata, pihak kementerian juga secara dasarnya bersetuju dan menyambut baik cadangan YGMB mengenai keperluan memperkenalkan skim perlindungan kemalangan berkelompok kepada para guru yang bertugas mengiringi pelajar menghadiri aktiviti luar.

“Saya berharap YGMB dapat mengemukakan cadangan yang baik ini untuk bersama-sama difikirkan mekanismenya,” katanya. - UTUSAN ONLINE