Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, penggunaan tilam di tempat duduk belakang kenderaan menjadi trend dalam kalangan orang ramai sejak kebelakangan ini.

“Tular dalam media sosial mengenai penggunaan tilam di belakang kenderaan untuk pulang ke kampung dan itu merupakan perbuatan yang amat-amat dilarang walaupun ramai mendakwa ia untuk keselesaan dan sebagainya.

“Perbuatan yang menjadi trend itu merbahaya dan boleh disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar,” kepada kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Balik Kampung Yamaha Ke-21 di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Sementara itu, Siti Zaharah berkata, antara punca kemalangan jalan raya semasa sambutan musim perayaan adalah faktor manusia termasuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Menurut beliau, perbuatan seperti bercakap menggunakan telefon, menggunakan aplikasi WhatsApp atau Facebook dan mengambil gambar ‘selfie’ atau `wefie’ semasa memandu turut menyumbang kepada kadar kemalangan.

“Menggunakan WhatsApp atau Facebook untuk menunjukkan keceriaan pulang ke kampung, tetapi malangnya walaupun cuma satu saat melakukan perbuatan itu boleh menyebabkan kemalangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE