Tindakan itu menurut Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye adalah merbahaya kerana penutup hidung jenis biasa tidak mampu melindungi pengguna daripada terhidu pencemaran toksik.

“Sesetengah daripada mereka juga hanya memakai pakaian biasa apabila berada berhampiran tapak pelupusan bahan toksik di Sungai Kim Kim. Sepatutnya mereka yang terlibat perlu mendapatkan dan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian.

“Hal itu termasuklah alat pernafasan yang sesuai digunakan ketika berada di lokasi kejadian. Mereka yang berada di kawasan pencemaran perlu mendapatkan nasihat pakar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan NIOSH,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pihaknya dengan kerjasama syarikat pembekal PPE, 3M Malaysia Sdn. Bhd sedang mengumpul alat pernafasan yang sesuai dan akan menghantar 20 set pertama untuk diagihkan di lokasi kejadian.

Katanya, NIOSH juga telah menghantar pasukan teknikal untuk membantu proses pemantauan gas beracun di kawasan penempatan mangsa di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih.

“Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menjadi kewajipan kepada majikan untuk menyediakan PPE manakala pekerja pula wajib memakainya mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE