Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, hasil kajian yang dibentangkan Pusat Kajian Pentadbiran dan Politik (Cent-GPS) semalam seharusnya membuka mata semua pihak bahawa diskriminasi yang berlaku dalam sektor swasta kini dalam keadaan yang serius.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu undang-undang digubal supaya perkara tersebut dapat dihentikan.

"MTEM pernah mencadangkan, antaranya sebuah undang-undang antidiskriminasi diperkenalkan, jika belum ada. Kalau sudah ada, (ia perlu) dikuatkuasakan dengan penambahbaikan.

"Data juga menunjukkan graduan bumiputera sukar untuk mendapatkan kerja. Ini akan memberi kesan kepada pendapatan isi rumah bumiputera," katanya dalam sidang akhbar di Royale Chulan The Curve, di sini hari ini.

Hasil kajian yang dibentangkan Cent-GPS semalam mendapati pemohon kerja berbangsa Melayu dan India sukar untuk mendapat panggilan temuduga berbanding pemohon berbangsa Cina. - UTUSAN ONLINE