Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, Wanita UMNO telah menggerakkan Skuad Pengguna melalui 19,000 cawangannya untuk berkongsi maklumat dengan KPDNKK dalam isu berkenaan.

“Melalui program ini, Skuad Pengguna akan melawat kedai secara rawak dan merekod trend kenaikan harga yang berlaku. Jika dapat kenal pasti lonjakan melampau, kami akan membuat aduan terus kepada KPDNKK.

“Selain memantau harga barang, kami juga akan mempromosi dan menguar-uarkan kedai yang mengenakan harga berpatutan kepada orang ramai supaya pengguna boleh membuat pilihan dengan bijak,” katanya dalam Kempen Harga Patut di Restoran Kak Chik, Taman Sri Rampai di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari; Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Muez Abd. Aziz dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Wilayah Persekutuan, Suhaimi Zainuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahrizat berkata, masyarakat seharusnya mendapatkan maklumat terperinci berkaitan GST melalui sumber-sumber yang sahih kerana kebanyakan yang tersebar di media sosial adalah mengelirukan dan berniat menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Kami menyeru orang ramai untuk memahami GST dengan lebih terperinci serta mendapatkan maklumat dari sumber rasmi dan sah seperti laman web KPDNKK dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai harga barang boleh menghubungi KPDNKK di talian aduan pengguna, 1800-886-800 atau melalui laman web http://e-aduan.kpdnkk.gov.my.