Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, kira-kira 12 agensi telah menyatakan kesediaan untuk menyertai aktiviti itu secara bersama.

Katanya, gotong-royong itu bertujuan membersihkan kampung dan kediaman penduduk Orang Asli yang menjadi penularan penyakit demam campak hingga menyebabkan 15 kematian di Kampung Kuala Koh dua bulan lalu.

“Lebih 300 peserta bakal menyertai bersama membersih kampung dan rumah Orang Asli di kampung berkenaan termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Kita mengakui pada hari itu amat sesuai diadakan gotong-royong kerana masih ramai penduduk Orang Asli suku Bateq dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim Alang berkata, pihaknya mengambil langkah mengadakan gotong-royong besar-besaran itu supaya penduduk Orang Asli hidup dalam persekitaran baharu yang lebih bersih selepas ini.

Katanya, semua pihak perlu mengambil iktibar terhadap krisis jangkitan penyakit itu yang dianggap paling ramai meninggal dunia.

Sementara itu, Hashim Alang berkata, bekalan makanan bagi penduduk di Kampug Kuala Koh mencukupi.

Katanya, dakwaan penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koh yang makan nasi berkuahkan minyak masak tidak pernah berlaku di Kampung berkenaan.

“Dakwaan itu tidak betul kerana mereka sudah diberi banyak bantuan makanan daripada jabatan kerajaan dan NGO selepas berlaku tragedi itu.

“Bagaimanapun kita akan siasat perkara itu dan akan sentiasa pantau perkembangan hidup mereka termasuklah menyelesaikan masalah keperluan air bersih,” katanya. - UTUSAN ONLINE