Sebaliknya, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, golongan itu diseru bersama-sama pihak berkuasa dalam membantu kempen kesedaran orang ramai khususnya golongan muda mengenai risiko menunggang motosikal secara melulu.

Apatah lagi, kata beliau, statistik ketika ini menunjukkan jumlah kemalangan maut dalam kalangan penunggang motosikal melibatkan golongan muda adalah tinggi iaitu 65 peratus setiap tahun.

Ujar beliau, pihaknya juga tidak berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk golongan selebriti yang didapati melakukan kesalahan mengubah suai motosikal mereka yang akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kita memang kumpul maklumat dan jika ada tangkapan semasa pemeriksaan atau menahan mereka, kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang tidak kira orang biasa atau artis," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kerjasama Flex Penang di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran dan turut dihadiri Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam perkembangan berkaitan, Azisman berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas iaitu Skuad 42 yang bertindak sebagai mata-mata dalam kalangan pelesit rempit sebagai usaha mengekang kegiatan lumba haram.

Katanya, penubuhan Skuad 42 sejak Januari lalu itu merupakan pendekatan baharu dan lebih proaktif pasukan berkenaan dalam membasmi kegiatan tersebut selain mengelak risiko keselamatan terhadap anggota ketika operasi tangkapan beramai-ramai seperti dilakukan sebelum ini.

"Kini, pegawai dan aggota trafik akan berpakaian seperti orang awam bagi memerhati dan merekod maklumat kegiatan lumba haram yang dianjurkan untuk diambil tindakan di mahkamah dengan bukti-bukti seperti gambar," katanya. - UTUSAN ONLINE