Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof berkata potensi mereka sebagai rakan strategik dalam membantu Malaysia untuk bersaing di peringkat global sewajarnya diberi penekanan menerusi pelbagai institusi latihan kemahiran sedia ada.

“Hasrat ini adalah selari dengan janji kerajaan menerusi Buku Harapan yang digarap melalui Janji 62 Memerangi Jenayah dan Gejala Sosial di bawah Teras 6 Membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

“Aspirasi ini juga sejajar dengan iltizam khusus untuk anak muda supaya kerajaan memperkenalkan dasar pentadbiran yang membolehkan setiap anak muda mencapai potensi penuh mereka. Antara sebahagian projek di bawahnya adalah projek Reben Kuning yang telah diletakkan di bawah lima kluster iaitu kluster keusahawanan, kluster kemahiran, kluster sukan, kluster kebolehpasaran dan kluster kempen kesedaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Program Latihan Kemahiran Scaffolding Reben Kuning kerjasama di antara KBS bersama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Chembong semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Pengurusan Banduan JPM Komisioner Penjara Ariffin Mohd Noor, Pengarah Sekolah Hendry Gurney Melaka Penolong Komisioner Penjara Abdul Rahman Taib dan Pengarah IKTBN Chembong Johari Mohamad Tahar.

Katanya antara objektif pelaksanaan projek Reben Kuning yang julung kali diadakan itu adalah bagi membolehkan setiap golongan belia di negara ini wajar diberikan hak sama rata dalam memainkan peranan mereka menyumbang kepada pembangunan Malaysia pada masa akan datang.

Selain itu, katanya program ini juga memberikan peluang kedua buat penghuni terutama golongan belia serta menghakis segelitir stigma masyarakat terhadap bekas penghuni apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

“Di bawah strategi pelaksanaan projek Reben Kuning, beberapa perkara telah dirangka dan antaranya ialah meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran belia bekas penghuni sekolah pemulihan akhlak dan bekas banduan untuk memberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan serta menyediakan peluang pendidikan kepada penghuni dan bekas penghuni penjara kerana menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Wasitah berkata pihak KBS juga telah melaksanakan program bagi membolehkan anak muda dapat mempertingkatkan kebolehan mereka dalam bidang kemahiran.

Pada majlis itu seramai 12 peserta program Latihan Kemahiran Scaffolding dari Sekolah Hendry Gurney Melaka menerima sijil masing-masing setelah berjaya menamatkan latihan selama sebulan sejak 14 April lepas serta menerima surat tawaran pekerjaan daripada MKRS Bumi Sdn Bhd. - BERNAMA