Gimnas negara, Koi Sie Yan berjaya meraih dua pingat perak acara belantan dan bola individu.

Sie Yan mempamerkan aksi cemerlang dan bertenaga apabila mengumpul 13.850 mata dalam acara belantan di belakang pemenang pingat emas dari Kanada, Sophie Crane selepas mengumpul 13.950 mata manakala pingat gangsa diraih gimnas Cyprus yang mendapat 13.550 mata.

Pada aksi di Coomera Indoor Sports and Leisure Centre itu, Sie Yan terus cemerlang dengan persembahan menarik untuk mengumpul 13.400 mata dalam acara bola individu.

Pingat emas acara itu menjadi milik gimnas dari Cyprus, Diamanto Evripidou selepas mengumpul 13.800 mata manakala pingat gangsa diraih gimnas tuan rumah, Alexandra Kiroi Bogatyreva (13.250 mata).

Sementara itu, seorang lagi gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng berjaya merebut pingat gangsa acara individu gelung selepas mengumpul 13.550 mata untuk berada di kedudukan ketiga terbaik.

Pingat emas acara itu diraih gimnas Cyprus, Diamanto Evripidou dengan 14.850 mata manakala pingat perak menjadi milik gimnas Wales, Laura Halford selepas mendapat 14.000 mata.

Untuk rekod, skuad gimrama telah mengumpul dua pingat perak dan dua pingat gangsa. - BERNAMA