Penasihat Undang-Undang GGPS, Datuk Imran Tamrin berkata, perkara tersebut merupakan antara tindakan yang bakal diambil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sekiranya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran gagal menjawab persoalan dengan lebih mendalam.

Ujarnya, perkara tersebut mengundang rasa khuatir dalam kalangan rakyat jelata yang bimbang negara ini diduduki warganegara yang tidak mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia.

“Walaupun Jabatan Pendaftaran telah memberi penerangan semalam pihak kami merasakan ianya masih belum cukup meyakinkan.

“Sekiranya kami tidak dapat penjelasan yang jelas tentang dasar warganegara sebelum dan selepas Malaysia Baharu adakah masih guna standard sama seperti sebelum atau ada perubahan kita akan dapatkan injuksi,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan seramai 200,000 orang dijangka akan mendapat sijil kewarganegaraan membabitkan pelbagai kategori dan kes berbeza.

Muhyiddin berkata, mereka yang memperoleh sijil kewarganegaraan itu dikaji bersandarkan kepada perlembagaan dan kemanusiaan. - UTUSAN ONLINE