Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, geran padanan secara tersasar adalah lebih tersusun dan berupaya mengelak ‘ketirisan’ dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan.

Menurutnya, apa yang berlaku selama ini adalah geran percuma kepada usahawan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan keusahawanan berikutan sukar untuk mengenal pasti aktiviti perniagaan mereka.

“Ada yang menggunakan hanya separuh daripada jumlah geran itu untuk berniaga manakala separuh lagi digunakan untuk membeli barangan lain yang tidak berkenaan untuk berniaga.

"Jadi, kita mahu elakkan perkara ini berlaku kerana geran yang kita beri itu juga adalah duit rakyat, kita tak boleh guna duit rakyat untuk diberikan kepada perkara yang tidak pasti,” katanya ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Bersama Usahawan Pekan Rabu, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang dilaporkan menyaran kerajaan menutup Kementerian Pembangunan Usahawan susulan keputusannya untuk tidak lagi memberi geran percuma kepada usahawan bumiputera.

Jumaat lalu, Mohd. Redzuan menegaskan kerajaan tidak lagi memberi geran percuma kerana tidak mahu usahawan terlalu bergantung kepada bantuan itu, selain ada yang hanya mengharapkan bantuan kerajaan tapi tidak mempunyai ilmu dan daya ketahanan untuk menceburi perniagaan.

Mengulas saranan Hamidah yang mahu kementeriannya ditutup, Mohd. Redzuan berkata, beliau tiada masalah dengan perkara itu kerana banyak lagi kementerian lain yang boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Dia tak faham pembaharuan kita bawa,

sebenarnya fungsi utama kementerian ini bukan untuk bagi geran tetapi kita melatih orang-orang yang mahu menjadi usahawan selaras hasrat kerajaan untuk menjadikan kita sebagai masyarakat pengeluar.

“Namun, geran padanan tetap ada (tetapi) duit percuma memang tiada. SME Corporation Malaysia (SME Corp.) juga masih menyediakan geran padanan sehingga RM500,000 dan kerajaan juga memperuntukkan lebih RM5 bilion untuk geran penyelidikan dan pembangunan (R&D),” ujarnya. - UTUSAN ONLINE