Beliau berkata penambahan peruntukan itu bagaimanapun akan melihat kepada jumlah permohonan yang diterima daripada 15,441 MPKK di seluruh negara dan penilaian semula bajet KPLB pada pertengahan tahun ini.

Katanya usaha itu bagi memastikan lebih banyak MPKK di seluruh negara dapat memanfaatkan geran tersebut bagi meningkatkan ekonomi penduduk melalui pelbagai aktiviti termasuk pertanian sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu, menceria dan mensejahterakan kampung serta menggerakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

"Setakat ini kita melihat respon MPKK melalui permohonan geran itu sangat baik dan ia semakin meningkat berbanding satu dua bulan sebelum ini selepas kita mengadakan kursus induksi untuk MPKK bagi menjelaskan kepentingan geran ini.

"Kita tidak ragu-ragu untuk memohon kerajaan pusat untuk menambah peruntukan awal yang berjumlah RM50 juta sehingga RM100 juta pada tahun ini bagi memastikan lebih banyak MPKK mendapat geran berjumlah RM10,000," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Melaka di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa hampir satu jam melawat Balai Raya Pengkalan Minyak di Ayer Molek sebelum ke Surau Kampung Bukit Pulau di Bukit Baru yang turut dihadiri Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Rina berkata sehingga 23 April lepas, lebih 50 peratus atau RM25.13 juta daripada peruntukan RM50 juta di bawah Geran MPKK telah disalurkan ke seluruh negara menerusi kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, pihaknya menerima sebanyak 482 permohonan daripada MPKK di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 277 permohonon telah diluluskan.

Sementara itu, katanya pihaknya telah selesai mengadakan kursus induksi untuk semua MPKK kecuali di Sabah dan inisiatif itu membantu MPKK terlibat meningkat ilmu dalam pengurusan serta pentadbiran kampung dengan lebih baik.

"Melalui kursus induksi itu, MPKK diajar cara menyediakan kertas kerja atau perancangan untuk membangun dan memajukan kampung selain mendapatkan Geran MPKK ketana kebanyakan daripada mereka baharu dilantik memegang jawatan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata KPLB telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM5.42 juta untuk pembangunan masyarakat desa atau luar pada tahun ini, meningkat lebih 40 peratus berbanding RM3.86 juta pada tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Melaka memperoleh sebanyak RM24.36 juta untuk melaksanakan pelbagai pembangunan termasuk projek ameniti sosial, jalan perhubungan desa, jalan luar bandar dan Majlis Amanah Rakyat. - BERNAMA