Beliau sebaliknya berkata kebanyakan sekolah tempatan terutamanya sekolah aliran Cina sudah pun memperkenalkan aktiviti tanaman sayur-sayuran bagi membantu murid belajar tentang penanaman.

“Hasil daripada tanaman sayur-sayuran, murid boleh membawa hasil pulang ke rumah. Aktiviti sebegini memang telah ada.

“Penanaman sayur-sayuran lebih praktikal berbanding tanaman kopi. Murid-murid tidak boleh melihat aktiviti memproses kopi di peringkat selanjutnya kerana sekolah perlu pula membawa mereka melawat kilang memproses kopi pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoe Chai berkata demikian sebagai reaksi terhadap cadangan oleh pengusaha kopi kepada kerajaan mengenai penanaman pokok kopi di sekolah.

Beliau malah berkata, berdasarkan kajian menunjukkan kopi mampu memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak sesuai untuk kopi. Bagaimanakah anak-anak akan mempunyai minat terhadap biji kopi tanpa minum kopi, apatah lagi untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses pengeluaran kopi,” katanya.

Bagi beliau, terdapat banyak lagi janji yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan seperti mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berbanding cadangan penanaman kopi.-UTUSAN ONLINE