Bertemakan Bumi Manusia, NGO yang mewakilikumpulan profesional muda ini, memilih judul novel Pramoedya Ananta Toer sebagai simbol menyuarakan seruan kemanusiaan dalam kempen mengumpulkan Dana Rakan Jalanan.

Menurut pengasas Gerak dan pengarah projek ini, Nursyuhaidah A. Razak, sasaran kutipan yuran penyertaan seminar akan digunakan bagi kegiatan membantu 600 gelandangan di sekitar ibu kota.

"Kami aktif dengan fokus membantu gelandangan. Walaupun banyak NGO menumpukan pada program makanan, Gerak mengisi keperluan membekalkan kit kesihatan pada wanita dan bantuan khusus kepada kanak-kanak," kata Nursyuhaidah.

Selain itu katanya, senarai panel yang dijemput pada seminar itu termasuk Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said yang akan tampil berkongsi suara kemanusiaan dalam konteks peranan sasterawan.

Menurut Nursyuhaidah, naratif sastera diharap mampu menyemarakkan perjuangan membangkitkan suara kemanusiaan pada era krisis miskin bandar yang kemanusiaan pada era krisis miskin bandar yang sangat menekan.

"Selain Pak Samad, kami juga menjemput adik kepada sasterawan besar Indonesia Pramoedya Ananta Toer. Tamu khas, Soesilo Toer akan mengembalikan memori perjuangan kemanusiaan yang terkandung dalam novel Bumi Manusia yang ditulis abangnya," kata Nursyuhaidah.

Nursyuhaidah A. Razak,

Gerak aktif di jalanan Kuala Lumpur terutama menfokuskan program kawalan risiko kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Projek Kit kesihatan dilaksanakan sejak lima tahun lalu. Satu tindakan mengimbangi sumbangan makanan yang dijalankan pelbagai NGO lain.

"Saya tidak lupa imej-imej awal ketika pertama kali memulakan program di jalanan. Gelandangan tidur separuh bogel di bawah jambatan. Malah, ada seluarnya berdarah kerana haid tetapi tidak mempunyai pad wanita," katanya.

Sejak pengalaman itu, Nursyuhaidah yang juga lulusan undang-undang dan syariah, memulakan kempen kit kebersihan wanita mulai Januari lalu.

Projek ini kini keutamaan Gerak dengan seminar bertemakan Bumi Manusia ini jua dijadikan platform untuk aktivis kemanusiaan yang menjalankan platform untuk aktivis kemanusiaan yang menjalankan kerja-kerja membantu gelandangan tampil berkongsi pengalaman mereka.

"Kami berharap, proses ini akan membantu lebih ramai memahami isu gelandangan tanpa stigma negatif. Prasangka terhadap penagih dadah dan pelacur harus diperbetulkan. Lebih 50 peratus gelandangan sekarang ialah warga miskin bandar," katanya.

Seminar Bumi Manusia akan menfokuskan pengisian diskusi dengan objektif membincangkan dan menilai semula intipati kemanusiaan dan kekuasaan dari sudut tangggung jawab sastera, naratif aktivis dan peranan masyarakat.

Program Bumi Manusia satu usaha menyatukan pelbagai suara kemanusiaan untuk dikongsi secara fakta dengan peserta yang hadir.

Aktivis Gerak, Khair Zawawi, mahu menjadikan seminar ini sebagai platform melahirkan aktivis jalanan yang dinamik serta konsisten dalam melaksanakan kerja kemanusiaan.

"Saya fikir, kita kena betulkan perlakuan yang salah. Kerja kemanusiaan bukan sekadar menjadi sukarelawan untuk datang dan pergi. Adalah tidak beretika kalau hanya bergambar dan dimuat naik ke media sosial dan berasa seronok kerana sudah berbuat baik," katanya.

Norashikin Ali Amat

Bagi aktivis Norashikin Ali Amat, usaha kemanusiaan dalam membantu gelandangan bukan kerja mudah dan mengharapkan kejayaan secara sekali lalu.

"Bukan isu samada memberi bantuan makanan dapat menyelesaikan masalah atau tidak. Moral lebih utama, merujuk kata-kata Plato, berbaik hatilah pada sesama manusia kerana setiap orang susah yang kita temui

sedang menghadapi bebanan berat," katanya.

Menurut Norashikin, Gerak menyasarkan RM10,000 kutipan melalui kempen Bumi Manusia.

"Jujurnya, dalam akaun bank Gerak cuma sekitar RM1,000. Kami belum ada penaja besar. Barangkali kerana orang ramai belum tahu kewujudan kami," katanya.

Bagi mereka yang berminat menyertai Seminar Bumi Manusia atau membantu Dana Gerak, sila hubungi 60128253215 (Shikin) atau daftar dengan harga promosi wasap.my/60128253215/KOD50

DAFTAR DENGAN HARGA PROMOSI wasap.my/60128253215/KOD50. - UTUSAN ONLINE