Kata Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, kumpulan pelampau seperti ini sepatutnya disenaraikan di bawah anasir subversif dalam negara.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, namun kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang membantah keras pelaksanaan tulisan khat dan Jawi itu

"Kumpulan pelampau seperti ini sepatutnya disenaraikan di bawah anasir subversif dalam negara. Mereka hendaklah dianggap sebagai satu ancaman kepada negara setaraf dengan ancaman terrorisme.

"Masyarakat Malaysia hendaklah digemblengkan untuk 'menggempur' kumpulan pelampau ini sehingga mereka pulih atau keluar meninggalkan negara ini," katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.

Mohd. Asri turut berkongsikan pautan berita MalaysiaKini bertajuk Dong Zong rasis, tak pernah setuju apa-apa pun yang memetik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

Hari ini, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.- UTUSAN ONLINE