Presidennya, Musa Awang berkata, ini memandangkan persatuan sendiri daripada awal terlibat dalam usaha menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkenaan bertujuan mengangkat profesionalisme peguam-peguam syarie di negara ini.

Pada masa sama beliau berkata, walaupun RUU hanya terpakai dalam Wilayah Persekutuan sahaja, PGSM berharap ia menjadi model undang-undang panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie di negeri-negeri.

“PGSM yakin dan percaya bahawa negeri-negeri akan mengambil langkah yang sama dengan memperkenalkan Enakmen Profesion Peguam Syarie di negeri masing-masing.

“Pihak PGSM melalui cawangan di negeri-negeri bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri ke arah merealisasikan tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Musa, menyeragamkan undang-undang berkaitan profesion guaman syarie bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme peguam-peguam syarie, malah dapat menjadi pencetus ke arah memartabatkan institusi mahkamah syariah.

“Apa yang lebih penting, ia mampu mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat, yang timbul akibat daripada ketidakseragaman tersebut.

“Dengan adanya undang-undang sedemikian, peguam syarie akan menjadi lebih fokus, lebih berkomitmen, lebih berintegriti dan lebih bertanggungjawab terhadap profesion mereka serta kepada anak guam,” katanya. - UTUSAN ONLINE