Rata-rata penumpang memaklumkan mereka berbuat demikian sebagai langkah waspada terhadap sebarang masalah yang mungkin berlaku susulan gangguan berkenaan.

Menurut seorang penumpang, Carmon Wong, 30, dia akur terhadap nasihat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang meminta agar semua penumpang tiba empat jam sebelum pesawat berlepas.

"Saya terlebih dahulu menghubungi pejabat MAHB sebelum ke KLIA untuk mengetahui situasi terkini dan mereka minta datang awal.

"Setakat ini, saya mendapati proses daftar masuk berjalan lancar dengan tanpa sebarang masalah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain itu, pelancong Indonesia, Izabel Putri Musni, 26, berkata proses daftar masuk bagasi berjalan lancar dengan sebarang masalah walaupun dia bimbang dengan gangguan sistem di KLIA.

"Semuanya ok, saya rasa sistem sudah kembali pulih seperti sedia kala," ujarnya.

Sementara itu, gangguan sistem yang berlaku ekoran masalah sistem pangkalan di KLIA sejak Rabu lalu kini dilihat hampir pulih.

Operasi daftar masuk bagasi telah dilakukan secara automatik berbanding sebelum ini dibuat secara manual manakala papan maklumat penerbangan yang juga terjejas sebelum ini kembali berfungsi seperti biasa.

Tinjauan Utusan Online di KLIA sejak 9 pagi mendapati operasi daftar masuk bagasi telah dilakukan secara automatik berbanding sebelum ini dibuat secara manual.

Malah papan maklumat penerbangan yang juga terjejas sebelum ini kembali berfungsi seperti biasa sab sekali gus membantu dan melicinkan pergerakkan para penumpang.

Selain itu, kaunter daftar masuk bagasi tidak lagi sesak dan keadaan terkini dilihat kembali terkawal serta berjalan lancar.-UTUSAN ONLINE