Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan, pihaknya berharap situasi itu dapat diselesaikan pada pagi esok.

"Ini memandangkan kami baru sahaja menerima pengantian peralatan sistem berkenaan dengan ujian akan dilakukan pada malam ini.

"Pasukan kami akan terus bekerja sepanjang masa untuk membetulkan keadaan. Antara penyelesaian yang sedang digunakan termasuk penggantian peralatan perkakasan," kata MAHB dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata MAHB lagi, pihaknya amat kesal terhadap kesulitan dihadapi para penumpang dan mengerahkan 1,000 kakitangan untuk menawarkan bantuan kepada mereka yang menghadapi masalah.

"Penumpang boleh mendapatkan lebih banyak maklumat daripada platform media sosial kami dan juga dinasihatkan untuk sampai ke lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu berlepas penerbangan mereka.

"Kami juga menggalakkan penumpang untuk mendaftar masuk melalui aplikasi mudah alih atau laman web syarikat penerbangan masing-masing," kata kenyataan itu.

Gangguan berlaku sejak malam semalam berpunca daripada masalah sistem pelayan di pintu masuk negara itu sekali gus menyebabkan penerbangan hari ini mengalami kelewatan.

Malah gangguan tersebut juga menyebabkan operasi kaunter daftar masuk bagasi sesak apabila penumpang beratur panjang kerana operasi dikendalikan secara manual.

Selain itu, gangguan teknikal tersebut juga menjejaskan papan maklumat penerbangan dan menyukarkan penumpang untuk mengetahui lebih lanjut butiran penerbangan.

Ekoran itu papan maklumat penerbangan dilakukan secara manual dengan penumpang perlu menyemak sendiri di kaunter pertanyaan.

Bukan sahaja operasi lapangan terbang terjejas, malah perniagaan lain termasuk restoran makanan segera Mcdonald mengalami masalah sama apabila tempahan perlu dilakukan secara manual berbanding sebelum ini dalam talian.- UTUSAN ONLINE