Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, sebagai langkah untuk menyelesaikan permasalahan itu, pihaknya telah menggantikan peralatan rangkaian yang kini sedang diuji dan dipantau dengan teliti untuk kestabilannya.

"Sejak penggantian peralatan rangkaian, kita akan melihat perkembangan positif terhadap kestabilan rangkaian. Sistem-sistem kritikal di Terminal Utama KLIA kini kebanyakannya telah berjalan.

"Walau bagaimanapun, kami telah mengambil pendekatan berhati-hati dan akan terus berjaga-jaga kerana kami masih mengalami beberapa isu sekejap-sekejap (intermittent)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan sebanyak 20 jadual penerbangan di KLIA semalam ke pelbagai destinasi mengalami kelewatan ekoran gangguan sistem pelayan.

Tambah Raja Azmi, Terminal Utama KLIA masih mengalami beberapa masalah kelewatan tetapi keadaannya bertambah baik disebabkan oleh langkah-langkah yang telah dijalankan.

Penghargaan katanya, harus diberikan kepada seluruh komuniti lapangan terbang untuk bersama dalam menghadapi cabaran tersebut.

"Kami tidak pernah melihat kerjasama yang lebih baik dalam kalangan syarikat penerbangan yang mana semua membantu satu sama lain supaya operasi penerbangan dapat diteruskan. Sementara itu, sistem di terminal kedua KLIA2, umumnya tidak terjejas pada masa ini," katanya.

Menurut beliau, tumpuan pihaknya adalah dalam memastikan kesinambungan sistem serta memperluaskan capaian bantuannya terhadap syarikat-syarikat penerbangan dan penumpang.

"Terdapat kelewatan dan pembatalan penerbangan tetapi kita mengurusnya dengan menggunakan kesemua 38 'remote bay' pesawat selain menyediakan bas-bas tambahan serta perkhidmatan pengendalian lapangan untuk syarikat-syarikat penerbangan melicinkan pergerakan penumpang," ujarnya.

Remote bay adalah sebuah tempat letak pesawat terbuka, secara umumnya ia tidak dihubungkan dengan jambatan atau aerobridge penumpang (PBB) yang bermakna, penumpang perlu turun dari pesawat menggunakan tangga.

Beliau memberitahu, tempoh operasi di semua lapangan terbangnya yang lain di negara ini juga dilanjutkan dalam usaha menampung penerbangan-penerbangan yang lewat dari KLIA dan KLIA2.

"Kami juga menyediakan 1,000 kakitangan tambahan untuk membantu penumpang di lapangan dan untuk membantu berkaitan bagasi. Kami juga bekerja sangat rapat dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk memastikan beg dihantar kepada pemilik yang betul. Tenaga tambahan ini akan terus ada sehingga keadaan kembali normal," katanya. - UTUSAN ONLINE