Situasi itu berlaku akibat paras air Sungai Mentiga menjadi kering, sekali gus menyaksikan penyusutan mendadak terhadap paras bekalan di Loji Air Chini sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air kepada penduduk sekitar.

ZABEDAH ISA dan cucunya, Nur Fitri Aida Abdul Mutalib mengambil
ZABEDAH ISA dan cucunya, Nur Fitri Aida Abdul Mutalib mengambil air dari perigi yang digalinya di Felda Chini Timur 2. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

Zabedah Isa, 62, berkata, ketiadaan bekalan air membebankan kehidupan penduduk di situ.

“Makcik terpaksa menggali perigi sedalam tiga meter bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan selepas bekalan air semakin merun­cing bermula awal bulan ini.

“Hanya tiga meter makcik mampu gali kerana ta­nah keras dan air perigi ini makcik ambil dan simpan untuk kegunaan harian serta mengambil wuduk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chini Timur 2, di sini hari ini.

Zabedah berkata, dia me­ngambil masa selama hampir dua minggu untuk menggali perigi yang terletak di belakang rumahnya.

Katanya, biarpun Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) ada menghantar bekalan air bersih menggunakan lori tangki setiap dua hari sekali, namun bekalan itu tidak mencukupi.

“Selain itu, saya juga terpaksa membeli air minuman dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan sekeluarga.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah kami ini yang sudah berlarutan hampir sebulan, memang sengsara tiada air ini,” katanya.