Demikian kenyataan Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), Datin Fauziah Ramly yang mengulas penurunan pendapatan siswazah dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018.

Beliau berkata, gaya hidup golongan belia hari ini menjadi isu pokok dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat walaupun mereka menerima gaji besar.

“Gaji banyak mana sekalipun tidak akan cukup sekiranya mereka gagal mengurus kewangan dan perbelanjaan harian dengan baik.

“Lihat sahaja pada gaya hidup mereka sekarang yang gemar makan di restoran-restoran mahal serta terlalu kerap bercuti menyebabkan pendapatan mereka sebulan habis begitu sahaja.

“Selain itu, kereta juga menjadi trend. Perlu ke beli kereta import dengan pendapatan tak sampai RM2,000,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pendapatan wajar bagi graduan peringkat ijazah sarjana muda sekarang adalah RM2,000 minimum selepas mengambil kira kos sara hidup, sewa rumah atau bilik dan pengangkutan.

“Jumlah pendapatan itu juga termasuklah tanggungan bayaran balik pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Bagi pengangkutan pula, beli kenderaan pada kadar yang mampu dan utamakan pengangkutan awam kerana banyak inisiatif dilakukan kerajaan untuk kurangkan tambang pengangkutan awam,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE