Tinjauan Utusan Online ke beberapa pasar malam di sekitar Lembah Klang mendapati gerai-gerai jualan vape dijual semurah RM50 bagi pek permulaan dan sekotak cecair di dalam empat kiub pada harga RM40.

Di sebuah pasar malam di Kepong, didapati terdapat enam gerai penjual vape pelbagai jenama, kesemuanya menawarkan free testing vape yang mengandungi nikotin.

Dalam satu perbualan, penjual mengatakan vape adalah kaedah terbaik mengurangkan ketagihan merokok kerana cecair yang disediakan tidak mengandungi nikotin. Tetapi bila ditanya jenis cecair yang dijualnya, dia mengaku semua cecair ada nikotin.

Tinjauan di sebuah lagi pasar malam, didapati beberapa remaja mengerumuni sebuah gerai vape dan membeli cecair vape tanpa segan silu, lagi pun orang lalu lalang pun tidak pedulikan transaksi mereka.

Di satu lokasi di Bandar Sri Permaisuri, sebuah kedai khusus vape terpampang papan iklan besar tetapi pelanggan tidak perlu naik ke atas untuk mendapatkan bekalan. Sebuah gerai menjual burger, menyediakan bekalan dengan pelbagai pilihan perisa.

Tinjauan Utusan Online ini mengesahkan rumusan bahawa vape ini dijual secara berleluasa, terang-terangan tanpa mengira usia, tanpa lesen apalagi membayar cukai berkaitan.