Sandarannya ditujukan kepada skuad wanita negara selepas hanya kempunan tiket Kejohanan Dunia setelah kalah 2-1 dalam masa tambahan separuh akhir kepada Thailand pada Kelayakan Asia-Oceania di Bangkok, Februari lalu.

“Satu cabaran oleh Datuk Seri Norza bagi kami walaupun secara minimumnya, kami letakkan dua gangsa sahaja. Emasnya kepada pasukan wanita yang lebih mantap dan jurangnya rapat dengan lawan.

“Kata beliau, Sukan SEA Singapura 2015 kami sudah dapat gangsa (lelaki) jadi kali ini kena (menang) emas,” kata Presiden Persatuan Floorball Malaysia (MFA), Rizal Mohd. Razman.

Jelasnya, cabaran itu dilontar Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia ketika hadir menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Kebangsaan Kelapan, 2019 di Puchong, Selangor, kelmarin.

Pulau Pinang membolot gelaran kategori lelaki dan wanita kejohanan melibatkan 16 pasukan dan diasaskan pada 2012 itu dengan masing-masing menewaskan Selangor 6-1 dan penentuan penalti 4-2 selepas terikat 5-5.

Hampir separuh daripada 28 pemain negara dalam skuad Sukan SEA berasal dari Pulau Pinang dengan kaptennya, Chiam Ter Min turut dinobatkan Pemain Paling Bernilai kategori lelaki kejohanan itu.

Sukan SEA Naypyidaw 2013 menyaksikan Malaysia meraih dua pingat perak (pertunjukan dan tidak dikira dalam pungutan pingat) manakala hanya sebutir gangsa dimenangi dua tahun lalu kerana kategori wanita cuma disaingi tiga pasukan ketika itu, tiada pingat buat pasukan corot.

Skuad floorball negara bertandang ke venue floorball Sukan SEA Ke-30, Pusat Konvensyen dan Beli-belah LB Centtro, Los Banos, Laguna dengan kos pemergian mereka ditanggung sendiri MFA di bawah Kategori B.

Singapura masih menjadi calon utama juara Sukan SEA namun Thailand dan Filipina khabarnya mengimport beberapa pemain kelahiran Sweden yang beraksi dalam Liga Divisyen Dua di sana dan mempunyai dwikerakyatan.

“Malaysia kekal dengan pemain tempatan sepenuhnya termasuk jurulatih kami, Kuan Yang dan Mat Akram setelah pernah menggunakan khidmat warga Sweden dalam dua Sukan SEA lalu,” kata Rizal.

Skuad lelaki meraih tempat kelima Piala Konfederasi Floorball Asia Oceania (AOFC) di Arena Sukan Alonte, Binan, Laguna, Filipina selepas disekat Jepun 9-5, Julai lalu. - UTUSAN ONLINE