Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Datuk Mohd. Yusof Din berkata, politik baharu yang mengutamakan politik hujah tanpa fakta, persepsi dan populis semata-mata dilihat telah mendominasi suasana politik negara.

Kata beliau, ditambah dengan ledakan arus media baharu membawa pelbagai maklumat yang tidak diketahui kesahihannya, perkara itu mencelarukan lagi masyarakat.

“Ledakan media baharu ini menyebabkan sebahagian kita tidak mampu untuk menyaring segala maklumat tersebut. Ia menyebabkan api fitnah menjadi semakin marak sehingga berupaya meninggalkan kesan dan persepsi melampau,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan majlis penutupan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017, di sini hari ini.

Majlis penutup itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi IWM, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, IWM diberi amanah menggerakkan pendekatan wasatiyyah yang telah menjadi dasar negara.

Menurutnya, antara bidang tumpuan yang diberi keutamaan dalam Dasar Wasatiyyah Negara adalah bidang politik dan kenegaraan.