Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Penjurian FFM28, Nancie Foo berkata, hal tersebut tidak sepatutnya menjadi isu sehingga membawa kepada tindakan memboikot festival berkenaan.

Nancie menegaskan, penerbit sepatutnya bersyukur kerana tahun ini jawatankuasa menambah dua kategori baharu bagi filem yang tidak menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahasa Malaysia dalam karya mereka.

“Pada 2011, kita perkenalkan kategori Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia Terbaik bagi memberi peluang kepada filem yang menggunakan bahasa selain bahasa Malaysia bertanding. Kini, kita tambah dua lagi kategori iaitu Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk filem yang tidak menggunakan bahasa Malaysia,” katanya kepada Utusan Online.

Beliau menambah, soal pengasingan tersebut tidak seharusnya diperbesarkan kerana matlamat utama penganjuran FFM untuk mengekalkan identiti tempatan terhadap filem-filem Malaysia.

“Apatah lagi selaku bahasa kebangsaan, sewajarnya penerbit akur menerima syarat penggunaan bahasa Malaysia dalam skrip atau dialog filem mereka. Penggiat seni tidak perlu menyentuh sentimen perkauman kerana sudah jelas bahasa Malaysia menjadi identiti sejak dahulu lagi, seiring dengan Perlembagaan negara.

““Lagipun, penerbit sudah dimaklumkan mengenai hal ini ketika mereka mahu mengisi borang pencalonan di peringkat awal lagi. Jadi, tidak perlu dibangkitkan semula hal ini,” katanya.

Isu pengasingan filem mengikut bahasa digunakan menjadi polemik sebaik sahaja penganjur mengumumkan senarai akhir filem yang akan dipertandingkan bagi merebut 27 kategori dalam FFM28 yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 September ini.

Pelakon dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki dilaporkan akan memboikot FFM28 disebabkan pengasingan tersebut.

Pengarah filem Jagat, Shanjhey Kumar turut meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila tidak berpeluang merebut trofi kategori Filem Terbaik apabila bahasa Tamil dijadikan bahasa penghantaran dalam karya arahannya. - UTUSAN ONLINE