Kementerian itu dalam kenyataannya berkata, bayaran bagi fasa kedua itu memanfaatkan hampir 3.6 juta penerima serta 3.23 juta anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak kurang upaya (OKU) yang tiada had umur.

Menurut MoF, penerima bantuan asas BSH 2019 yang pendapatan isi rumah bawah RM2,000 akan menerima RM300 bagi fasa kedua, manakala pendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 menerima RM150 dan mereka berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM100.

“Secara keseluruhan, penerima bantuan asas BSH 2019 yang pendapatan isi rumah bawah RM2,000 akan menerima RM1,000 bagi tiga fasa. Iaitu RM300 dibayar untuk fasa pertama dan kedua serta RM400 untuk fasa terakhir.

“Penerima dengan pendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 menerima RM750 dalam tiga fasa dan penerima berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM500 untuk tiga fasa,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut MoF lagi, untuk permohonan baharu yang tidak menerima bayaran pada fasa pertama sebanyak RM300, bayaran berkenaan akan disekalikan dalam pembayaran fasa 2 mengikut nilai kelayakan kategori BSH 2019.

Selain itu jelasnya, kadar tambahan sebanyak RM120 juga diberikan bagi setiap anak berumur 18 tahun ke bawah (terhad kepada empat anak) kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

Jelasnya, bayaran kadar tambahan tersebut akan dibuat sekali gus pada pembayaran fasa kedua BSH 2019 iaitu RM120 untuk seorang anak, RM240 (dua orang anak), RM360 (tiga orang anak) dan RM480 untuk empat orang anak.

“Secara ringkasnya, sebagai contoh sekiranya Ali berpendapatan di bawah RM2,000 dan mempunyai empat anak yang layak, beliau akan menerima RM1,480 dengan pembayaran sebanyak RM300 pada fasa pertama (Januari 2019), RM780 pada fasa kedua (Mei 2019) dan RM400 pada fasa ketiga (Ogos 2019).

“Bayaran BSH ini adalah lebih bersasar apabila turut mengambil kira bilangan anak yang layak dalam sebuah keluarga,” jelasnya.

Sementara itu tambah MoF, bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos 2019.

“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” jelasnya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected].-UTUSAN ONLINE