Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Program Food Bank Malaysia @Pasar Tani ini akan dimulakan di pasar tani terpilih dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menjadi projek perintis sebelum diluaskan ke seluruh negara.

Beliau berkata, antara kategori produk jualan yang disumbangkan adalah sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit.

“Kita sasarkan anggaran sumbangan lebihan makanan antara lima hingga 10 peratus bagi satu pasar tani.

“Bagi peniaga, mereka tahu corak perniagaan mereka jadi mereka boleh beri sumbangan pada awal ataupun akhir jualan,” katanya selepas pelancaran program Food Bank Malaysia @Pasar Tani di sini hari ini.

Program Food Bank Malaysia (PFBM) diperkenalkan sebagai satu inisiatif kementerian membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bantuan bekalan makanan daripada lebihan makanan.

Pelaksanaan PFBM adalah selari dengan matlamat United Nation Sustainble Development Goals (SDG) 12.3, iaitu mencapai pengurangan setengah daripada lebihan makanan keseluruhan yang dikeluarkan industri peruncitan dan pengguna pada 2030.

Konsep program ini adalah dengan menyelamatkan lebihan makanan yang masih boleh dimakan melalui pengumpulan daripada penyumbang iaitu pasar raya, pengilang, pengusaha makanan, hotel dan syarikat korporat.

Saifuddin berkata, sebanyak 500 kilogram sumbangan makanan berjaya dikumpulkan hari ini daripada Pasar Tani Kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya dan akan diagihkan kepada dua rakan strategik utama Food Bank Malaysia iaitu Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

“Makanan yang dikumpul akan diagihkan kepada kumpulan sasar yang sudah dikenalpasti daripada keluarga miskin dan kurang upaya, rumah kebajikan, pusat bantuan makanan, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar universiti yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pengumpulan sumbangan makanan ini akan diteruskan ke Pasar Tani Setiawangsa, Taman Melawati dan Kelana Jaya pada 27 Julai dan Pasar Tani Shah Alam dan Bukit Angkasa pada 28 Julai ini. - UTUSAN ONLINE