Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Mohd. Sany Hamzan berkata, program itu mampu memberi penjimatan kepada para pengunjung sebanyak RM70,200 dengan pembelian barangan keperluan sempena menjelang Syawal.

Katanya, program yang telah bermula sejak 25 Mei lalu hingga 4 Jun ini melibatkan 18 lokasi di seluruh negara antaranya Selangor, Perak, Melaka dan Sabah serta Sarawak.

MOHD. SANY HAMZAN
MOHD. SANY HAMZAN 

“Kami menyasarkan seramai 27,000 pengunjung akan hadir membeli barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri seperti kerepek, biskut raya, dodol, buah-buahan, daging, ayam dan produk sejuk beku melalui program tersebut.

“Orang ramai akan menikmati diskaun lima hingga 25 peratus bagi harga yang dijual seramai 720 usahawan tempatan dalam program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi tapak jualan program MBB Pra Aidilfitri di perkarangan Ibu pejabat FAMA, Selayang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Basri Jasmo dan Pengarah Kanan Pemasaran Industri Asas Tani, Che Ghani Che Wan.

Mohd. Sany menambah, program itu merupakan acara tahunan yang diadakan setiap bulan sejak tahun 2014 terutamanya penganjuran menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Kami menyeru orang ramai untuk hadir dan merebut peluang membeli barang keperluan hari raya pada harga murah berbanding harga semasa di pasaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE