Sehubungan itu, Pengerusi FAMA, Ishak Ismail, mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa kolaborasi antara FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut bertujuan untuk membantu mengurangkan kos hidup rakyat dengan LPP serta LKIM memfokuskan usaha penghasilan produk pertanian dan perikanan manakala FAMA memainkan peranan pemasaran dengan membawa hasil terus dari ladang untuk dijual di pasar tani.

“Jualan terus dari ladang akan menjadi satu program penting yang mana dengan cara ini kita percaya dan yakin dapat meningkatkan pendapatan petani sebanyak 50 peratus kerana barang mereka dijual secara langsung oleh mereka sendiri. Pengguna juga mendapat penjimatan antara lima hingga 20 peratus.

“Dengan cara ini kita dapat menangani masalah penglibatan terlalu banyak orang tengah dalam rantaian pembekalan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani di Pasar Tani Bukit Angkasa di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang turut berkesempatan mengendalikan jualan waktu ria (happy hour) di pasar tani berkenaan. - UTUSAN ONLINE