Ini semua negara yang besar. Namun, negara bersaiz kecil juga ada mengamalkan konsep ini antaranya Malaysia dan kita lebih hebat lagi kerana sebesar-besar Australia hanya ada enam negeri dan seramai-ramai umat seperti India, baru 29 negeri.

Malaysia yang 30 juta penduduk ada 13 negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan. Di Malaysia juga mempunyai sembilan raja-raja Melayu selain dalam Persekutuan ini juga menyaksikan Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi lebih daripada negeri lain.

Besar atau kecil, asas konsep ini adalah persetujuan negeri-negeri atau wilayah yang telah mempunyai pentadbiran sendiri untuk membentuk satu perikatan bagi menubuhkan negara dengan persetujuan menyerahkan sebahagian kuasa untuk ditadbir kerajaan Pusat.

Dan bidang kuasa kerajaan Pusat, negeri dan kuasa bersama pula digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan dengan teras pentadbiran harus menghormati pemisahan yang telah dipersetujui ini.

Amerika Syarikat (AS) sering dijadikan contoh Persekutuan yang berjaya. Selepas Civil War, kini di AS, kecil atau besar negeri di dalamnya hampir tidak ada semangat kenegerian kecuali dalam bentuk ‘nasionalisme sukan’.

Dan di republik ini, mereka cukup ‘pantang’ dengan perkataan kerajaan Pusat sebaliknya dalam apa keadaan hanya ada satu istilah iaitu kerajaan Persekutuan. Ini kerana Persekutuan dibentuk oleh negeri-negeri yang bersetuju menyerahkan beberapa kuasa dan bukan sebaliknya.

Walaupun kuasa besar, bidang kuasa mutlak kerajaan Persekutuan AS terhad kepada empat terutama pertahanan dan dasar luar. Waima keselamatan di bawah kuasa negeri dengan agensi Persekutuan hanya terlibat jika melibatkan pengganas. Dalam insiden pengeboman Boston Marathon, ada 16 agensi negeri dan Persekutuan terlibat menyiasat.

Bagi negara unitari, keadaan berselirat seperti itu yang cuba dielakkan tetapi bagi negara Persekutuan, ini ada manisnya apabila kuasa yang diperuntukkan menjadikan setiap negeri mempunyai hak selain boleh memutuskan sendiri corak dikehendaki dalam perkara yang menjadi bidang kuasa mereka.

Justeru, tidak hairan pengamalan konsep Persekutuan dilihat penyelesaian masalah kepada beberapa negara antara yang terbaru Filipina yang telah menyaksikan pemberian autonomi kepada wilayah Bangsamoro.

Jadi, Malaysia cukup beruntung kerana dibentuk berasaskan Persekutuan. Apa pun setiap negara Persekutuan pastinya tidak sama. Ada sarjana melihat Malaysia ‘terlalu kerajaan Persekutuan’ kerana kuasa negeri hanya pada beberapa perkara antaranya agama Islam dan tanah, itu pun ada penyelarasan oleh agensi Persekutuan.

Namun, syukur tidak ada pertikaian besar, hanya mutakhir ini kembali kedengaran isu hak negeri dan Persekutuan. Penyelesaiannya mudah, kembali kepada Perlembagaan Persekutuan. Semua telah disebut mengenai senarai Persekutuan, Negeri dan Bersama. Hak Persekutuan dan negeri juga dinyatakan dalam Bahagian V dan VI. Jangan ada yang lebih, baik Persekutuan mahu pun negeri. Rujuk Perlembagaan. - UTUSAN ONLINE