Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Keong berkata, stesen yang dimaksudkan ialah Bangunan Silveritage Medan Gopeng.

Menurutnya, bangunan itu tidak diwartakan sebagai terminal bas ekspres.

"Hanya ejen-ejen jualan tiket bas yang dibenarkan oleh tuan punya bangunan menjual tiket bas ekspres di bangunan tersebut.

"Mengambil dan menurunkan penumpang tetap dilakukan di Terminal Meru Raya yang sebelum ini dikenali Terminal Amanjaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Choo Keong berkata, adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 23(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya mana-mana pengendali bas ekspres gagal mematuhi arahan beroperasi di Terminal Meru Raya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 tetapi tidak lebih daripada RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Semua pengendali, pengguna dan ejen tiket bas ekspres perlu jelas terhadap arahan ini supaya tidak timbul kekeliruan," katanya. - UTUSAN ONLINE