Empat buah persatuan itu adalah Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah-Sekolah Cina Kedah, Persatuan Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Gabungan Persatuan Orang-Orang Cina Sungai Petani dan Kedah Tamil Foundation.

Pengerusi Kedah Tamil Foundation, G. Kumaran berkata, mereka tidak bersetuju langkah kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan Jawi kepada murid-murid tahun empat hingga enam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Kata beliau, Perlembagaan adalah jelas menyatakan bahawa tulisan rumi digunakan sebagai bahasa rasmi dan bukannya Jawi atau seni khat.

"Bahasa Cina dan Tamil merupakan jiwa kaum-kaum ini. Ia juga merupakan tembok terakhir untuk memelihara bahasa ibunda kami.

"Kami bimbang langkah Kementerian Pendidikan menyerap tulisan khat dalam buku teks SJKC dan SJKT, lambat laun akan melenyapkan simbol dan identiti kedua-dua sekolah itu suatu hari nanti," katanya yang gembira kerana perhimpunan tersebut berjalan lancar dan tenteram.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan kempen itu di Dewan Kuil Sri Subramanian Pekan Lama Jalan Kuala Ketil di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah-Sekolah Cina Kedah, Ch'ng Chuwn Leong; Pengerusi Persatuan Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Datuk Cheng Lai Hock dan Pengerusi Gabungan Persatuan Orang-Orang Cina Sungai Petani, Lee Kuan Lin.

Dalam pada itu, Kumaran berpendapat adalah lebih baik kerajaan memberi tumpuan lebih serius terhadap usaha-usaha meningkatkan bidang ekonomi terhadap semua kaum terlebih dahulu sebelum melaksanakan perkara-perkara lain.

Sementara itu, Ch'ng Leong pula merayu Kementerian Pelajaran agar menarik balik keputusan untuk memperkenalkan seni khat dan Jawi demi memelihara keharmonian antara kaum.

Isu pengenalan tulisan khat dan Jawi mendapat bantahan dua pertubuhan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang menolak langkah tersebut. - UTUSAN ONLINE