Mengambil batu sebagai kenang-kenangan, mengusap bangunan tertentu dan meminta doa di tempat tidak sepatutnya adalah perkara yang dilarang dalam agama Islam.

Selain itu, apabila di Jabal Rahmah, elak lakukan perbuatan seperti bersolat atau berdoa menghadap tugu di bukit itu, mengutip batu untuk dijadikan azimat dan mencatat nama dengan niat tertentu.

Ketika melakukan ziarah di bukit tersebut, masih dapat dilihat jemaah dari beberapa negara yang begitu taksub dengan bukit yang dikatakan tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa tersebut sehingga menangis-menangis berdoa menghadap bukit.

Jemaah tidak seharusnya terlalu taksub dengan menganggap Jabal Rahmah merupakan tempat mustajab berdoa mencari mencari jodoh kerana kawasan bukit itu sebenarnya adalah salah satu kawasan Arafah yang merupakan sebahagian daripada tempat mustajab untuk berdoa pada hari Wukuf nanti.

Imam Surau Abraj Al-Janadriyah, Zulkefli Ahmad berkata, banyak tempat bersejarah berkaitan Rasulullah yang boleh diziarah para jemaah sementara menanti hari wukuf yang boleh memberi pengajaran.

“Jabal Tsur yang mana terletaknya Gua Tsur misalnya merupakan tempat perlindungan Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar dalam perjalanan mereka berhijrah ke Madinah,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Di bukit setinggi 458 meter yang terletak kira-kira empat kilometer dari Masjidilharam itu, baginda menyembunyikan diri selama tiga hari dengan bekalan makanan dibawakan Asma, anak Abu Bakar, yang menghantarnya setiap hari.

“Bayangkan bagaimana kesukaran dan pengorbanan Asma yang dikatakan sedang mengandung ketika itu untuk berjalan ke Jabal Tsur dan kemudian mendaki bukit itu,” kata Zulkefli.

Selain Jabal Rahmah dan Jabal Tsur, media Malaysia juga dibawa tempat-tempat Masyair iaitu sekitar Arafah, Mina, Muzdalifah dan Jamrah yang kini dalam persiapan akhir untuk menyambut jemaah.

Malahan, di atas sebuah bukit berhampiran Mina, dapat dilihat sebuah batu putih yang merupakan tempat di mana Nabi Ibrahim akan menyembelih anaknya, Nabi Ismail atas perintah Allah tetapi kemudiannya digantikan dengan kibas.

Peristiwa tersebut menjadi asas kepada ibadat korban yang dilaksanakan umat Islam setiap kali tibanya perayaan Hari Raya Aidil Adha. - UTUSAN ONLINE