Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, jumlah itu meliputi RM20.71 bilion bagi Terengganu, RM8.47 bilion (Pahang) dan RM3.2 bilion (Kelantan).

Menurutnya, jumlah itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 9.4 peratus berbanding hanya RM29.61 bilion pada 2017.

Bagaimanapun, katanya, nilai import ke negeri Pantai Timur pada 2018 pula mencatatkan pengurangan sebanyak 8.7 peratus berbanding RM17.89 bilion tahun sebelumnya.

"Berdasarkan statistik, eksport utama Pantai Timur pada 2018 adalah bahan api galian, pelincir, bahan kimia dan barangan pengeluaran kilang.

"Ini menunjukkan negeri Pantai Timur juga kaya dengan sumber asli yang menyumbang jumlah tinggi dalam prestasi eksport negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Hari Eksport Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Sharimahton Mat Saleh; Pengarah Matrade Terengganu, Zamani Mat Zain dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik.

Tengku Hassan berkata, Terengganu berpotensi besar menjadi hub beberapa industri utama Malaysia menerusi industri mineral, minyak dan gas, silika, makanan, produk berasaskan ikan, getah dan durian ke luar negara.

“Peningkatan kehadiran pelancong ke negeri ini juga mendorong usahawan memacu keupayaan pengangkutan, sumber makanan, perhotelan serta industri berkaitan.

“Secara umumnya, industri ini boleh dikategorikan sebagai eksport yang berpotensi baik dari segi produk perkhidmatan untuk dipromosikan kepada pelancong asing,” katanya. - UTUSAN ONLINE