Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pertumbuhan tersebut mengatasi jangkaan pasaran yang menjangkakan eksport Malaysia jatuh 2.5 peratus tahun-ke-tahun, seperti yang dikumpul oleh Bloomberg.

Menurut beliau, daya tahan eksport negara telah menginjak lebihan dagangan Malaysia untuk bulan Julai naik sebanyak 75.6 peratus kepada RM14.3 bilion, daripada RM8.1 bilion pada bulan yang sama tahun lalu.

Jelasnya, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ini merupakan lebihan dagangan yang tertinggi dalam sejarah untuk bulan Julai.

"Ekonomi Malaysia dijangka berkembang dengan mampan dalam suku ketiga 2019, setelah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pesat pada kadar 4.9 peratus dalam suku kedua.

"Untuk tempoh Januari-Julai 2019, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM81.6 bilion, iaitu 15.9 peratus lebih besar daripada RM70.5 bilion yang dicatat dalam tempoh Januari-Julai 2018.

" Imbangan dagangan yang sihat ini akan mengekalkan akaun semasa negara dalam keadaan lebihan untuk tahun ini, dan melindungi ekonomi domestik daripada ketidaktentuan yang meningkat akibat faktor-faktor global berikutan perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang berlarutan, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kesan daripada lencongan dagangan telah membantu eksport Malaysia ke China dan AS dalam bulan Julai, masing-masing meningkat setinggi 3.8 peratus dan 7.9 peratus berbanding setahun yang lalu.

Tambahnya, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sebuah laporannya baru-baru ini menyatakan Malaysia telah meraut pasaran import negara China dan Amerika Syarikat yang lebih besar untuk barangan tertentu.

Dalam tempoh Julai 2018 sehingga April 2019, bahagian Malaysia untuk alatan semikonduktor fotosensitif dan transistor diod yang diimport oleh AS masing-masing meningkat sekitar 10 peratus dan 6 peratus.

Dalam tempoh yang sama katanya, bahagian Malaysia untuk barangan petrokimia yang diimport oleh negara China meningkat hampir 25 peratus.

"Malaysia juga mendapat manfaat daripada lencongan pelaburan. Data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa pelaburan asing yang diluluskan untuk separuh pertama 2019 telah meningkat 97.2 peratus

kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion pada tahun lalu, " tambahnya.

Guan Eng berkata, pelaburan pembuatan diluluskan daripada AS telah melonjak kepada RM11.7 bilion pada tempoh yang sama daripada RM307 juta tahun lalu.

Pada tahun 2018 katanya, jumlah FDI yang diluluskan meningkat sebanyak 47.1 peratus kepada RM80.1 bilion daripada RM54.4 bilion pada tahun 2017.

Lonjakan dalam pelaburan diluluskan daripada AS untuk separuh pertama 2019 mempamerkan keyakinan pelabur AS ke atas Malaysia. Keyakinan ini juga dicerminkan oleh syarikat-syarikat AS yang beroperasi di dalam negara, tambah beliau.

Jelas Guan Eng lagi, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) pada tahun 2019, 76 peratus daripada 37 syarikat yang ditinjau, termasuk Agilent, Dell, Freescale, Motorola, Texas Instruments dan Western Digital menyatakan bahawa mereka merancang untuk mengembangkan pelaburan di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Jelasnya, AMCHAM juga percaya bahawa suasana perniagaan domestik akan bertambah baik, berdasarkan kepada dapatan menunjukkan bahawa dua pertiga daripada syarikat yang ditinjau akan mengembangkan perniagaan mereka dalam masa terdekat.

"Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya daripada China dan AS ke dalam negara untuk menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi untuk semua rakyat Malaysia. Kementerian Kewangan juga akan mengawasi keadaan ekonomi negara secara rapi supaya langkah-langkah yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dapat diambil dengan segera jika perlu, " jelasnya. - UTUSAN ONLINE