Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md. Yusof, 48, berkata, kenyataan polis yang menafikan penglibatan Zareef, 9, dalam kemalangan berkenaan telah memberi impak negatif dan pandangan serong terhadapnya.

Menurutnya, dia berasa bimbang terhadap masa depan Zareef yang juga anak keduanya terpalit dengan tuduhan menipu berikutan tindakan polis yang tidak menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden kemalangan terbabit.

“Saya ada bukti dan pengesahan perubatan dari Hospital Tunku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam bahawa anak saya terlibat dalam kemalangan.

 

“Saya berasa sangat kecewa bila polis menafikan anak saya tidak terlibat kerana ia memberikan gambaran negatif terhadap saya, anak dan kru penggambaran.

“Saya tuntut pihak polis membuat permohonan maaf di semua platform media cetak dan elektronik sebelum 31 Julai ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media tergempar yang diadakan di Finas, Hulu Kelang.

Jelas Eizlan, sekiranya pihak polis gagal membuat permohonan maaf dalam tempoh yang diberi, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah.

“Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini kerana saya amat menghormati agensi kerajaan.

“Tetapi sekiranya gagal berbuat demikian, saya dengan berat hati terpaksa membawa isu ini ke mahkamah.

“Saya ada semua bukti dan biarlah pihak mahkamah yang mengadili kes ini,” tuturnya.

Zareef menaiki kenderaan Toyota Vios yang dipandu ibu saudaranya, Nur Zuriati Mohd. Rijaluddin, 23.

 

Kereta dinaiki kedua-dua mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira ketika kejadian yang berlaku pukul 8 pagi.

Menerusi laporan Kosmo!, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon bagaimana pun telah menafikan penglibatan Zareef dalam kemalangan tersebut. – UTUSAN ONLINE