Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hakikat tersebut membuktikan bahawa kepimpinan yang berintegriti, tegas serta mengamalkan tadbir urus yang baik, telus dan bertanggungjawab akan mencegah ketirisan serta kebocoran dalam pengurusan kewangan negara.

“Keputusan ini dimuktamadkan antaranya dengan mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Selangor sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 24 Januari tahun lalu untuk tidak membenarkan pembangunan jajaran ECRL melalui kawasan Permatang Kuartza, Gombak.

“Kawasan berkenaan telah disenaraikan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, keputusan Kerajaan Persekutuan ini bermakna pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi kawasan Permatang Kuartza yang merupakan ‘pure quartz dyke’ dapat dielakkan sekali gus mempertahankan faktor budaya, warisan dan alam sekitar.

Jajaran baharu sejauh 640 kilometer berbanding jajaran dahulu sejauh 688 kilometer itu ujarnya, telah berjaya mengurangkan kos daripada RM95.5 juta kepada RM68.7 juta setiap kilometer.

“Kerajaan negeri juga sedia maklum akan bantahan dan aduan yang dikemukakan oleh penduduk tempatan memandangkan cadangan jajaran ECRL yang lama akan melalui kawasan hutan simpan di sempadan Selangor dan Pahang, kampung tradisi, kawasan perumahan dan komersial.

“Cadangan ini juga telah mengakibatkan kos pembangunan yang lebih tinggi memandangkan keperluan untuk meneroka kawasan hutan serta pengambilan kawasan komersial dan perumahan penduduk yang padat,” katanya.

Sehubungan itu beliau yakin, keputusan kerajaan tersebut bukan sahaja dapat menjamin pembangunan prasarana sosial yang berkualiti untuk rakyat bahkan akan memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta membuka pelbagai peluang ekonomi dalam rantaian nilai.

“Selain itu, keazaman Kerajaan untuk meneruskan projek ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta meningkatkan kadar keterhubungan logistik dan rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE