Sistem itu yang dinamakan Aplikasi Pengesan eLPH iaitu antara yang pertama di dunia, turut berupaya mengesan jika jemaah terlibat dalam kegiatan keganasan termasuk menghubungi pihak yang tidak sepatutnya dihubungi mereka, pada masa depan.

Menurut Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, buat permulaan program perintis itu melibatkan 6,000 jemaah dari Maktab 74 dan 75 Abraj Al Janadriyah dan mereka sudah maklum mengenainya.

Beliau memberitahu, sistem berkenaan yang dibangunkan anak syarikat Tabung Haji, Theta Edge Bhd. sejak dua tahun lalu menggunakan teknologi low emission bluetooth menerusi aplikasi telefon bimbit yang boleh mengesan jemaah dalam jarak 30 hingga 50 meter.

"Tujuan sistem ini diperkenalkan lebih kepada untuk melihat jemaah menghadiri program-program yang disusun Tabung Haji termasuk lapan siri ceramah dan taklimat haji di maktab.

"Daripada kehadiran kita boleh buat analisis keberkesanan program bimbingan haji. Jika jemaah tidak faham tentang ibadat haji adakah kerana mereka tidak hadiri sesi yang disediakan itu. Aktiviti peribadi seperti membeli-belah kita tak kesan," katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan operasi haji di sini, sebentar tadi.

Beliau memberitahu, proses pengesanan dan pengiraan jemaah dilakukan bagi pergerakan tertentu iaitu ketibaan di terminal, menaiki bas, ketibaan di hotel, umrah pertama serta pergerakan semasa masyair haji bermula dari Mekah ke Arafah.

Katanya, pengesanan dan pengiraan semasa masyair haji bagi memastikan semua jemaah berada dalam kawasan perkhemahan.

"Dengan cara ini kita boleh kesan jemaah yang tiada di khemah sama ada pergi ke hospital atau dibawa kumpulan lain untuk urusan tertentu.

"Kita boleh gunakan eLPH untuk pastikan jemaah berada di tempat yang mereka sepatutnya berada, jika tidak kita boleh buat carian. Jika tidak bermalam di hotel atau bermalam dengan sanak saudara, mereka kena beritahu," katanya.

Menurutnya, sistem itu paling mudah untuk mengesan jemaah terutama semasa tempoh masyair apabila pergerakan dilakukan secara secara berperingkat dan jemaah dipecahkan mengikut kumpulan.

Menurutnya, Tabung Haji menyasarkan untuk memperluaskan penggunaan eLPH dalam semua sektor operasi haji tahun depan selepas beberapa penambahbaikan dilakukan. - UTUSAN ONLINE