noway-2
 

Dalam ucapan beliau di akhir program yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Al-Abrar Kg. Kubang Gajah, Arau, Gunn menyatakan bahawa ini adalah pengalaman pertama beliau berbasikal memasuki kawasan kampung sejak berpindah ke negara ini dua tahun yang lalu.

Beliau yang diiringi timbalannya, Troels Bjerre Leming berasa amat terpesona dengan keindahan alam semula jadi serta udara yang nyaman terdapat di negeri Perlis.

Gunn juga begitu teruja dengan komitmen semua pihak khususnya Tuanku Raja Muda Perlis dalam membantu penduduk setempat yang memerlukan dan melihat sendiri betapa harmoninya hubungan di antara rakyat jelata dengan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan di negeri ini yang wajar dijadikan sebagai satu contoh teladan.

Tambah Gunn lagi, walaupun jarak kayuhan dilalui hanya 11km dan mengambil masa sejam lebih, namun dalam tempoh yang singkat itu beliau diberi peluang melalui pelbagai pengalaman sekali seumur hidup yang sungguh istimewa.

Antaranya ialah melawat Pusat Pengurusan Jenazah Al-Abrar MAIPs dan diberi taklimat serta menyaksikan sendiri demonstrasi tatacara memandikan jenazah Muslim sebelum kayuhan bermula.

Beliau juga singgah di dua buah rumah asnaf terpilih dan melihat serta menghayati sendiri bagaimana Tuanku Raja Muda Perlis mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs dan menyantuni mereka dengan penuh berhemah dan mesra.

Beliau turut diberikan pemeriksaan kesihatan oleh para pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bersama-sama 30 orang asnaf yang hadir menerima sumbangan, mengail ikan, bergambar kenangan di tepi sawah padi yang sedang masak sekarang dan pelbagai lagi.

Gunn juga berpendapat program kayuhan seperti ini seharusnya dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai pakej produk pelancongan tersendiri yang unik di negeri ini supaya para pengunjung akan dapat merasai sendiri pengalaman mengenali dengan lebih dekat budaya hidup masyarakat dan keindahan semulajadi di sini.

Pada kayuhan kali ini Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan program peningkatan sosio ekonomi asnaf MAIPs berupa sebuah perniagaan menjual kueh tradisional karipap yang diusahakan oleh Noraini Ismail, 42 tahun (No Tel: 012 5576436) dari rumah beliau di Kg Kubang Gajah. MAIPs pernah menyumbangkan bantuan modal pusingan sebanyak RM500 kepada beliau sebelum ini. Di situ, Gunn tidak melepaskan peluang untuk membuat karipap apabila ditunjuk ajar teknik yang betul untuk membuatnya oleh Noraini.

Kayuhan ‘MAIPs Peduli kali ke-58 bagi tahun 2019’ tersebut turut disertai oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah dan Presiden Pertubuhan Penduduk ASEAN yang berpengkalan di Los Angeles, Datuk Nellsen Young yang secara kebetulan sedang berada di Perlis bagi menghadiri satu program lain.