Nahas pada pukul 4.30 petang itu mengakibatkan penunggang motosikal jenis Harley Davidson, C. Adwin Chandran dan pemboncengnya, Muhammad Nabil Ikhwan Ibrahim maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal ditunggang dua sekawan itu dengan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga individu.

Katanya, nahas tersebut berlaku apabila motosikal tersebut yang dalam perjalanan dari arah Gopeng ke Batu Gajah telah terlanggar belakang kereta berkenaan yang juga dari arah sama.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok hiasan pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua remaja terbabit cedera parah dan maut di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut beliau, tiada tangkapan dilakukan namun pihaknya telah mengambil sampel darah Adwin Chandran dan lelaki berusia 61 tahun yang merupakan pemandu kereta Perodua Myvi itu untuk mengesan sama ada terdapat kandungan alkohol atau dadah dalam badan mereka.

Katanya, kedua-kedua kenderaan yang mengalami kerosakan teruk di beberapa bahagian itu akan dihantar ke Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE