Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, ekoran itu pihaknya meneruskan operasi menjejaki haiwan terbabit yang dimulakan seawal pukul 6.30 pagi hari ini dengan melibatkan seramai 22 kakitangan di samping empat anggota polis.

Katanya, sebanyak dua perangkap telah dipasang di kawasan hutan berhampiran dan pihaknya menjejak haiwan liar berkenaan berpandukan kepada kesan tapak kaki.

“Operasi pada hari ini melibatkan kawasan pencarian seluas dua kilometer persegi dari lokasi haiwan itu ditemukan merayau semalam.

“Kita percaya kedua-dua ekor harimau itu masih lagi berada di dalam hutan berhampiran dan kita akan terus menjalankan operasi sehingga kedua - duanya ditangkap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi semalam, haiwan liar yang dianggarkan seberat lebih 100 kilogram itu ditemukan berkeliaran di kawasan kampung berkenaan sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk.

Tinjauan Utusan Online mendapati, sehingga pukul 12 tengah hari ini, kedua-dua haiwan itu masih gagal ditangkap dan operasi mengesannya masih diteruskan.

Sehubungan itu, Abdul Malek menasihatkan penduduk kampung agar menghadkan aktiviti di dalam kebun dan hutan sehingga haiwan terbabit ditangkap bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.

“Kita bimbang berlaku perkara buruk jika penduduk berada di dalam hutan dan kebun kerana haiwan terbabit masih bebas berkeliaran di sekitar kawasan hutan berhampiran,” katanya. - UTUSAN ONLINE