Nor Farhatul Fairuzah Panut, 19, dari Negeri Sembilan diumumkan sebagai johan qariah manakala kakaknya, Nor Faizah Panut, 30, yang mewakili Selangor diumumkan sebagai naib johan qariah.

Peserta dari Selangor, Abdul Khair Jalil dinobatkan sebagai johan qari manakala tempat kedua diraih oleh qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan ketiga, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Wilayah Persekutuan.

Tempat ketiga qariah disandang oleh Awatif Abd. Majid dari Pulau Pinang.

Dua beradik johan dan naib johan qariah

ABDUL KHAIR JALIL dinobat sebagai johan bagi qari dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 sementara Nor Farhatul Fairuzah Panut pula johan bagi Qariah. Masing-masing menerima hadiah yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Munawir dan Tunku Ampuan, Tuanku Aishah Tengku Besar Mahmud. - UTUSAN ONLINE/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

Abdul Khair memperoleh markah sebanyak 89.68 peratus manakala Nor Farhatul Fairuzah meraih 86.67 peratus.

Johan qari dan qariah bagi kategori tilawah menerima wang tunai RM15,000, dan ditambah dengan tunai RM10, 000 khusus untuk menunaikan ibadah haji, cederamata dan sijil penyertaan.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah berkenan berangkat ke majlis itu dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang kategori lelaki manakala Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud menyampaikan hadiah untuk kategori wanita.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd. Zaidi Ramli.

Seramai enam peserta turut dipilih sebagai johan hafazan al-Quran lelaki dan wanita bagi tiga kategori sempena penganjuran serentak kedua-dua majlis berkenaan tahun ini.

Bagi hafazan kategori juzuk satu hingga 30, johan lelaki dimenangi hafiz Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail dengan markah 97.93 peratus manakala kategori wanita diungguli hafizah Kedah, Raudah Abdul Razak (94.43 peratus).

Johan hafazan juzuk satu hingga 20 pula dimenangi hafiz Selangor, Ahmad Adil Luqman Ismail (97.63 peratus) dan hafizah Perak, Adibah Husni Ahmad Rozaini (96.53 peratus) manakala johan kategori juzuk satu hingga 10, masing-masing milik hafiz Selangor, Muhammad Al-Nawawi Borhan (98.44 peratus) dan hafizah dari negara yang sama, Ummi Najdah Abd. Samad (97.43 peratus).

Johan lelaki dan wanita kategori utama hafazan juzuk satu hingga 30 membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, tambahan simpanan emas RM1,400 daripada kerajaan negeri serta piala iringan.

Selangor dipilih sebagai johan keseluruhan tilawah manakala johan keseluruhan hafazan diungguli tuan rumah, Negeri Sembilan.

Majlis yang bermula 18 Mac lalu itu menghimpunkan keseluruhan 107 peserta dari seluruh negara terdiri daripada 28 orang bagi tilawah serta 79 peserta bertanding bagi hafazan dari setiap negeri. - UTUSAN ONLINE