Sehingga pukul 10 pagi ini aliran trafik di kedua-dua arah lengang tidak seperti semasa pembukaan untuk tempoh percubaan pada 2 Jun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jambatan unik yang satu-satunya di Asia ini turut menjadi pilihan pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) untuk sesi latihan mereka pada pagi ini di samping segelintir orang ramai yang berjoging.

Jambatan yang menelan belanja RM248 juta sepanjang 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut itu membolehkan pengguna menjimatkan masa perjalanan tidak sampai 10 minit dari Seberang Takir, Kuala Nerus ke pusat bandar raya.

Yang turut hadir pada pembukaan jambatan angkat hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Properties Sdn. Bhd., Khalizan Mahmud.

Menurut Khalizan, semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat itu, namun pengguna dilarang untuk meletakkan kenderaan atau berhenti kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.

JAMBATAN angkat 'Drawbridge' mula dibuka kepada lalu lintas bermula jam 6 pagi tadi. - UTUSAN ONLINE
JAMBATAN angkat 'Drawbridge' mula dibuka kepada lalu lintas bermula jam 6 pagi tadi. - UTUSAN ONLINE/Azlan Bahrum

Dalam perkembangan sama, katanya, ‘bascule’ (daun jambatan) berukuran 76 meter yang menjadi keistimewaan drawbridge kerana dikatakan sebagai yang terpanjang pernah dibina itu dijangka dapat beroperasi sebulan lagi.

Katanya, buat masa ini pihaknya masih dalam proses menyelenggara bascule di samping sedang berbincang dengan Jabatan Laut bagi menentukan jadual dan waktu bersesuaian untuk kemudahan tersebut dibuka.

“Bascule tidak boleh dibuka sesuka hati kerana akan menganggu laluan trafik dan kita merancang untuk membukanya sebanyak dua atau tiga kali seminggu selain, pada waktu kecemasan atau keperluan.

“Sehingga petang semalam kita masih melakukan ujian pengendalian dan kita dapati tiada masalah untuk membukanya. Orang ramai tidak perlu risau kerana kita memiliki sistem antara yang tercanggih di dunia yang dapat membuka dan menutup jambatan dengan cepat dan selamat,” katanya. - UTUSAN ONLINE