Pemilihan isteri Perdana Menteri bagi anugerah itu kerana beliau merupakan seorang tokoh menjadi contoh dan inspirasi kepada wanita lain khususnya rakyat Malaysia.

Malah pemilihan itu dibuat atas dasar ketokohan doktor wanita pertama Malaysia itu yang pernah dilantik mengetuai beberapa pertubuhan penting antaranya Persatuan Pandu Puteri dan Persatuan Rehabilitasi dan Orang Kurang Upaya Kanak-Kanak.

Anugerah itu disampaikan dalam Majlis Anugerah HRD 2019 yang berlangsung di sini malam ini.

Dr. Siti Hasmah berkata, pembabitan beliau dalam dunia perubatan didorong oleh hasrat bapanya yang mahu semua 10 anak-anak berjaya.

"Arwah bapa saya, Haji Mohd. Ali Taib merupakan individu yang sangat bercita-cita dalam pendidikan, jadi dia mahu semua anak belajar dan pergi ke sekolah.

"Jadi anugerah ini telah menyempurnakan hasrat bapa saya untuk melihat anak-anak berjaya dan menyumbang kembali kepada negara," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Antara tokoh pernah dipilih bagi Anugerah Sepanjang HRD Asia adalah bekas Presiden Filipina, Fidel V. Ramos; bekas Presiden dan Perdana Menteri Bosnia Herzegovina, Dr. Haris Silajdzic serta bekas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Pada majlis sama, antara pertubuhan dan individu yang menerima anugerah adalah Yayasan Sarawak, Pengerusi Institut Pengurusan Malaysia, Datuk Ng Tieh Chuan dan Pengasas Restoran D'Tandoor, Datuk Abdul Malik Abdullah.

Anugerah HRD Asia merupakan pengiktirafan kepada tokoh ulung yang menyumbang kepada pembangunan manusia sama ada untuk profesion sumber manusia, organisasi, komuniti atau masyarakat pada umumnya.

Dilancarkan sebagai inisiatif bebas pada tahun 2003 dengan hanya lima penerima dari dua negara, anugerah itu kini menjadi acara tahunan berprestij, dengan sejumlah 250 penerima dari 20 negara. - UTUSAN ONLINE