"Sempena #WorldPressFreedomDay, saya mengambil peluang ini untuk memuji media Malaysia susulan kejayaannya membaiki kedudukan dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia.

"Kita berjaya melonjak sehingga 22 anak tangga untuk berada di tempat teratas dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara, dan kedudukan ke-123 dalam ranking dunia. Terima kasih dan tahniah," katanya menerusi catatan dalam akaun Facebook dan Instagram hari ini.

Beliau turut memuat naik tiga gambar yang memaparkan beliau sedang ditemuramah oleh media dan satu gambar beliau di hadapan kumpulan jurufoto.

Menurut indeks terbaru yang dikeluarkan oleh pertubuhan 'Reporters Without Borders' pada 18 April lepas, Malaysia menduduki tempat teratas dalam ranking itu dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Ia diikuti dengan Indonesia (tempat ke-124), Filipina (ke-134), Thailand (ke-136), Myanmar (ke-138), Kemboja (ke-143), Singapura (ke-151), Brunei (ke-152), Laos (ke-171) dan Vietnam ke-176).

Norway berada di tempat pertama dalam senarai ranking itu, diikuti dengan Finland di tempat kedua, dan Sweden di tempat ketiga.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata kejayaan membaiki kedudukan dalam senarai kebebasan media merupakan pencapaian yang amat penting dan mesti dijadikan pedoman, kerana tanpa media yang berfungsi dengan bebas, demokrasi hanya dapat mencipta ketidakadilan.

"Pemimpin dan wartawan mempunyai tanggungjawab bersama dalam membela dan memperjuangkan kebebasan setiap wartawan di Malaysia seiring dengan prinsip demokrasi yang kita utamakan," katanya. - BERNAMA