Di Malaysia, rasuah belum tiba ke peringkat itu lagi (begitu buruk), jadi kita masih dapat mengatasinya. Soalnya sejauh mana rasuah di bawah meja itu dilakukan di sini?. Saya tidak fikir keadaan kita begitu buruk. Di sini sekali lagi ianya merupakan perkara perbandingan. Kita sudah tentu tidak dapat menghapuskannya sama sekali, bagaimanapun keadaan kita lebih baik.

Bagi tujuan mengatasi rasuah, kita perlu mempunyai orang-orang yang menjadi teras kepada pembasmian rasuah dan orang ini mestilah mereka daripada mereka yang bersih rekodnya. Sekiranya dalam kerajaan tidak ramai mereka seperti ini bermaksud usaha membasmi menjadi semakin sukar. Ini merupakan satu daripada masalah.

Masalah lain ialah di masa lalu ialah rasuah dihapuskan secara yang membuatkan proses birokrasi menjadi sulit. Tetapi dengan cara ini pula menyebabkan proses membuat keputusan menjadi lebih sukar seperti jika kita hendak mengambil sebarang keputusan ianya mesti melalui ‘penyelia. Jadi sebenarnya kita melambatkan proses membuat keputusan tetapi jika diperhatikan di peringkat akhir proses itu rasuah tetap ada.

Dalam soal rasuah, kita sudah tentu tidak dapat hapuskan sama sekali, kita perlu mempunyai badan pencegah rasuah yang baik. Dalam hal ini kerajaan juga sedang menimbangkan untuk menukarkan nama Biro Siasatan Negara (BSN) kepada Badan Pencegah Rasuah seperti dahulu. BSN sekarang ini tugasnya meliputi juga mengawasi turun naik harga barang dan kualiti barang-barang yang pada dasarnya bukan rasuah.

UTUSAN: Apakah seseorang itu tidak terlepas daripada diperiksa, sekali pun beliau sudah bersara daripada jawatan yang dipegang dahulu?.

DR. MAHATHIR: Oh, sudah tentu. Misalnya dalam kes pembelian kapal terbang, tidak bermakna pegawai-pegawai yang terlibat tidak diperiksa walaupun mereka sudah meninggalkan kerajaan. Ini adalah proses biasa.

Jika tidak ada pemberi tentu tidak ada penerima. Jadi bagaimana kerajaan mengambil kira si pemberi rasuah dalam usaha membanteras rasuah?.

Mereka yang memberi adalah sama buruknya dengan mereka yang menerima. Tetapi kadang-kala memerlukan mereka yang memberi untuk mendapatkan mereka yang menerima. Sudah tentu jika kita menangkap mereka yang memberi, kita juga akan dapat menangkap mereka yang menerima. Tetapi jika mereka yang memberi sanggup memberi keterangan lengkap, maka kita akan mengambil perkiraan yang longgar mengenai mereka.

Bagaimanakah kita dapat terus menerus membasmi rasuah ini?

Perkara ini sebenarnya adalah masalah yang besar. Kita mesti mempunyai satu tenaga yang kuat terdiri daripada mereka yang tidak sukakan rasuah berlaku. Bagaimana pun keadaan sekarang tidaklah buruk di mana apabila kita menangkap seorang ianya melibatkan ramai yang lain. Ini tidak bermakna saya tidak menentang rasuah habis-habisan. Saya akan terus melakukannya hingga mereka yang terlibat tidak akan dapat hidup gembira atas perbuatan rasuah mereka kerana fikiran mereka sentiasa akan bimbang jika mereka akan tertangkap.

Ada orang berkata, jika kita betul-betul bertindak menentang rasuah, maka kerajaan hanya mempunyai beberapa orang penting sahaja dalam kerajaan?

Ianya bergantung kepada cara kita bertindak. Saya yakin ada jalan untuk mengatasi masalah jenis ini. Perkara yang penting ialah apabila kita mengesyaki seseorang itu terlibat, kita akan mengkaji daripada berbagai segi dengan meminta bantuan banyak pihak.

Dr. Mahathir Mohamad mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan
Dr. Mahathir Mohamad mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan Kabinet baharu beliau di Jabatan Perdana Menteri Kuala Lumpur pada 18 Julai 1981. - ARKIB UTUSAN

Siapakah tenaga membanteras rasuah, apakah semata-mata pegawai-pegawai BSN atau pun susunan kedudukan pentadbiran yang mengatasi soal politik?.

Saya yakin sudah tentu ada pegawai ahli politik dan polis yang berdedikasi, jujur. Mereka inilah yang perlu diketengahkan. Oleh kerana mereka tidak melakukan rasuah, maka mereka sudah tentu tidak takut kepada tindakan yang kerajaan ambil. Orang-orang ini akan dapat dikesan dan saya fikir kita mempunyai ramai daripada kalangan ini untuk mengantungkan operasi pembersihan rasuah. Sudah tentu saya boleh jadi salah dalam membuat perkiraan ini, tetapi sekali pun salah saya fikir kesilapan itu tidak besar.

Setakat ini apa pandangan YAB tentang jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana ada juga pihak yang mengkritik mereka?

Saya terhutang budi kepada akhbar, tetapi kita juga berlaku adil kepada pegawai-pegawai kerajaan, sekali pun publisiti kadang kala menggoncang jentera kerajaan. Kini nampaknya semua orang berhati-hati kerana proses soal jawab PAC ialah satu proses tiada seorang pun suka. Kalau nak elak daripada itu, maka mestilah buat kerja betul-betul.

Apabila kita mengambil tindakan terhadap pegawai yang tidak jujur, maka pegawai-pegawai yang jujur akan terus mempertahankan supaya perkara yang tidak jujur tidak berlaku terlalu kerap. Inilah tujuan kita. Dan sekarang ini sudah nampak kesannya. PAC akan terus memeriksa kepincangan di peringkat negeri-negeri juga sebagaimana yang ditimbulkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 1978.

Ada juga komen yang di kalangan ahli-ahli PAC sendiri boleh dipersoalkan.

Inilah soal siapa yang hendak memulakan sesuatu dan siapa yang hendak ikut. Kalau kita hendak membuat sesuatu dan kita berkata, lihat dia itu melakukan kerja yang lebih buruk daripada aku, jadi aku tentu boleh buat juga. Dalam hal ini tidak ada siapa yang nak perbetulkan keadaan. Kalau kita hendak tunggu orang lain buat baik maka baharu kita nak buat baik, sampai bila pun kita tidak dapat berbuat baik kerana orang lain juga sedang menunggu kita. Soalnya jika kita jujur, orang lain tidak jujur tidak timbul. Jika orang lain mencuri kerana itu kita mesti mencuri, kalau ada masyarakat seumpama ini, saya fikir teruklah.

Ada pihak yang berkata, ahli jawatan kuasa PAC memeriksa orang, tetapi siapa pula yang memeriksa?

Ada orang bertanya, saya meminta semua orang membuat pengisytiharan harta, harta saya kepada siapa saya isytiharkan?. Kalau ini soalnya, saya barangkali saya boleh isytihar pada Datuk Musa tetapi apa maknanya, Pemeriksaan terakhir dan terpenting untuk saya, saya fikir ialah rakyat. Kalau rakyat tidak suka saya, mereka boleh buang saya, dan jika ada pilihan raya saya kalah atau pun rakan-rakan saya sendiri (dalam UMNO) tidak pilih saya, itu pun boleh jadi.

Kita jangan soal individu, tapi kita soal perbuatannya. kalau perbuatan itu salah, siapa juga yang melakukannya tetap salah. Janganlah kita kata, kalau dia soal kita, dia pun salah, jadi sama-sama salah. Perkara macam ini sudah tentu tidak patut berlaku. Kita mesti kira kalau orang lain hendak periksa jawatan kuasa PAC, mereka boleh melakukannya tetapi jika kita jumpa satu-satu kesalahan kita sudah semestinya memperbetulkannya.

Kalau ini jalan fikiran ramai, saya juga boleh berkata buat apa saya hendak bekerja kuat. Orang lain pun tidak bekerja kuat. Orang akan berkata, macam mana saya nak datang lambat. Jadi dalam proses kita tanya orang, orang tanya kita apa satu kerja pun tak jadi.

Apa pandangan YAB Datuk tentang terdapat VIP (orang kenamaan) yang tidak membayar cukai?

Kerajaan telah memberitahu semua VIP yang mereka mesti membayar cukai kerana mereka juga akan mendapat layanan yang sama dengan orang lain dalam hal ini. Kadang-kadang Kastam pun tentulah tahu akan kerjanya, kalau seorang itu nampak liar sahaja tetapi berkata beliau tidak membawa apa-apa sudah tentu orang itu akan diperiksa. Tapi kalau mereka yakin satu-satu orang tidak membawa apa-apa sudah tentu mereka tidak diperiksa. Saya dulu juga diperiksa, tapi tidak di cukai kerana barang saya ialah hadiah.

Terdapat ura-ura sekarang ini yang PAS dan DAP akan menyertai Barisan Nasional, apakah pandangan YAB Datuk?.

Tentang DAP saya tidak dengar pula tapi soal PAS nak masuk Barisan adalah saya dengar, itu pun apabila saya baca surat khabar, itu sahaja yang saya tahu.

Apakah baik Pas masuk balik Barisan?.

Sebagai mana yang saya katakan dulu, siapa juga yang dapat menerima prinsip-prinsip Barisan, kita sentiasa sedia membimbangkannya. Dulu kita buat perikatan agak eksklusif sedikit kerana tiga parti sahaja masuk, lepas itu kita buat ‘Grand Alliance’ meliputi Sabah dan Sarawak. Lepas itu kita buat Barisan Nasional, bertujuan memberi tempat pada parti-parti lain termasuk parti yang lebih kecil yang tidak dapat membentuk kerajaan. Jadi dengan ini akan terhapus perasaan kecewa atau terasa tertinggal. Syarat yang terpenting ialah kemasukan satu-satu parti itu mestilah dipersetujui sebulat suara oleh Barisan.

Tetapi apakah perasaan YAB Datuk, apakah YAB Datuk mahu melihat Pas masuk Barisan?

Saya suka elak daripada perpecahan. Saya suka kalau boleh kita tumpukan tenaga pada perkara-perkara kebajikan untuk semua pihak.

Ada pendapat yang mengatakan dalam pilihanraya akan datang PAS akan berada di luar Barisan. Mereka tidak akan menumpukan tenaga di Kelantan atau Kedah, sebaliknya ingin menawan Terengganu selain daripada mereka dulu pernah bertapak kekayaan minyak juga adalah menjadi sebabnya. Apakah persediaan UMNO.

UMNO bersedia mempertahankan kedudukan kita di Terengganu. Kita tahu UMNO menang 100 peratus di Terengganu dalam pilihanraya lalu. Kita yakin rakyat Terengganu sudah tahu sikap UMNO dan sikap parti lawan. UMNO akan terus mendapat sokongan. Mungkin sebilangan kecil akan tertarik kepada dakyah PAS tapi majoriti tetap percaya kepada perjuangan UMNO.

Sekarang ini Barisan Nasional berjalan dengan baik tetapi bagaimanakah pada pandangan YAB Datuk terhadap masa depannya.

Untuk dua pilihan raya ini, saya nampak Barisan Nasional akan tetap berjaya kecuali sesuatu yang luar biasa berlaku. Barisan Nasional akan kecuali perkara luar biasa yang di luar dugaan terjadi.

Dalam soal Pulau Pinang, apakah DAP boleh menawannya atau pun menambah kerusi mereka dalam pilihanraya akan datang?.

DAP hanya boleh mendapat beberapa kerusi, tapi saya tidak nampak mereka akan dapat menambah kerusi mereka sekarang. Dalam beberapa kawasan mereka tidak dapat masuk. Mereka tidak boleh mendirikan kerajaan nanti.

Apa pandangan YAB Datuk UMNO ingin calonkan orangnya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Saya fikir soal bumiputera atau tidak, timbul. Soalnya jika seseorang itu boleh memberi perkhidmatan baik. Selama ini pun kita mempunyai Ketua Menteri bukan bumiputera. saya tidak bersetuju kita membuat pertukaran, semata-mata kerana hendak membuat pertukaran,

Banyak kerusi atau tidak juga tidak timbul. Kalau semua pihak bersetuju yang Pulau Pinang mempunyai Ketua Menteri dari UMNO, bolehlah perubahan itu diterima, tapi kalau tidak bersetuju, saya fikir tidak boleh.

Apakah YAB Datuk menjangka perubahan ‘status quo’ akan berlaku terhadap pembahagian kerusi di kalangan parti-parti utama Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Kita memegang kepada ‘status quo’ kerana tiap-tiap satu perubahan akan menimbulkan banyak ‘up set’ dan ramai yang tidak senang. Tetapi dalam pilihanraya 1978, kita ada membuat beberapa perubahan kerusi termasuk bertukar kawasan. Mungkin nanti akan ada yang merasakan beliau perlu ditukar balik ke tempat lama mereka atau mungkin nanti ada lain-lain cadangan.- UTUSAN ONLINE

 

  • Wawancara penuh dapat diperoleh dengan melanggani e-paper Utusan Malaysia menerusi www.digital.utusan.com.my atau muat turun aplikasi di Google Play atau App Store