MUKADIMAH

SAMA ada di luar mahupun di dalam kerajaan, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tetap melalui cara kontroversial. Kalau semasa menjadi ‘government backbencher’ di tahun 60-an dahulu sering menimbulkan pendapat-pendapat yang boleh membangkitkan polemik yang panjang, maka setelah menyertai kerajaan, cara beliau tetap tidak banyak berubah.

Malah setelah melalui 100 hari sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia, cara ‘blunt’ beliau tetap bersamanya baik semasa beliau berhadapan dengan kawan, mahupun lawan politik.

Pada setengah kalangan, cara berterus terang beliau ini memudahkan kerja mereka, menyenangkan mereka membaca fikirannya, walaupun kadang kala terpaksa menahan merah padam warna muka.

Dalam temuramah dengannya baru-baru ini beliau dengan selamba berkata, “saya sememangnya sudah biasa bercakap sesuatu yang tidak enak didengar orang. Saya bercakap demikian kepada orang-orang Melayu, Cina mahupun India, jadi kenapa saya mesti menghadkan cara itu dalam negeri sahaja?”.

Lantaran sikapnya inilah maka beliau berkata kemerosotan ekonomi yang dialami oleh negara-negara maju,khasnya Barat sekarang ini adalah kerana mereka malas. Beliau memilih Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terletak di New York untuk berkata begitu. Oleh kerana kini beliau berusia 56 tahun, maka adalah sukar baginya untuk mengubah cara lain, Sebaliknya itulah cara yang menguntungkan beliau kerana katanya, “dalam dunia yang kebanyakan orang bercakap sesuatu yang baik-baik sahaja orang yang bercakap ‘nasty’ akan mendapat perhatian.

Dalam temuramah sempena 100 hari pertama beliau menjadi Perdana Menteri, beliau telah memberi pendapat-pendapat yang menarik tentang berbagai perkara,

Berikut ialah hasil temuramah itu.

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad meneliti dokumen sebaik tiba di
Dr. Mahathir Mohamad meneliti dokumen sebaik tiba di pejabat pada hari pertama beliau sebagai Perdana Menteri.  - Sumber: ARKIB UTUSAN 

UTUSAN: Setelah 100 hari menjadi Perdana Menteri, YAB Datuk telah mengadakan berbagai perubahan menuju kepada sebuah kerajaan yang aktif dan bekerja kuat. Apakah perkara-perkara yang telah YAB lakukan dan akan lakukan selepas ini?.

DR. MAHATHIR: Adalah sukar bagi saya menilai apa yang telah saya lakukan. Memang betul saya ada memberi arahan, tetapi sama ada arahan itu dilaksanakan atau sama ada arahan tersebut efektif atau pun tidak, adalah mudah bagi orang di luar yang menilainya. Duduk di bilik ini (pejabat Perdana Menteri), memberi arahan, membuat keputusan dan sebagainya tidak membuatkan saya dapat satu perspektif daripada luar, tentang sejauh mana kerajaan ini telah mencapai sesuatu. Sangat susah bagi saya berkata sesuatu mengenainya.

Ada orang berkata, ‘Oh, YAB telah memberi arahan-arahan tetapi apakah hasilnya’. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu. Sebab itulah saya fikir, setelah satu tahun barulah barangkali kita dapat melihat perubahannya. Tetapi sama ada setelah tempoh itu akan ada perubahan atau tidak adalah juga susah bagi saya untuk memperkatakannya.

Ramai yang berkata, bermula dari 16 Julai lalu, satu perubahan telah bermula iaitu kepada sebuah kerajaan yang bersih, efisien dan berdisiplin, melalui kerajaan ‘Dua M’ Mahathir-Musa. Apa pandangan YAB?.

Saya berharap begitu. Tetapi sama ada ianya, benar-benar seperti yang dikatakan atau tidak adalah satu perkara lain. Saya dan Datuk Musa mahu melihat perkara ini terjadi. Tetapi apakah kami mampu melakukannya? Adalah sangat mudah berkata,‘mari kita membuat sesuatu yang lebih baik’, tetapi soalnya apakah ianya benar-benar terjadi “lebih baik”.?

YAB Datuk telah meminta rakyat memberikan tempoh satu tahun untuk melihat perubahan, bagaimanakah cara penilaian yang diharapkan oleh YAB Datuk supaya rakyat membuatnya?.

Saya sendiri tidak tahu bagaimana caranya. Tetapi saya fikir cara yang terbaik ialah menerusi pilihanraya. Jika saya kalah, bermakna saya tidak mencapai sesuatu apapun di sepanjang pentadbiran saya. Tetapi jika saya kekal menang dan saya terus mendapat sokongan daripada rakyat,bermakna rakyat sukakan polisi yang saya pegang dan mereka akui kebaikan polisi itu. Saya tidak mahu terus berkuasa lebih lama daripada yang yang saya kehendaki. Jika saya dapat mengesan yang saya tidak lagi dikehendaki, saya tidak ada masalah untuk kembali ke klinik saya.

Apakah cabaran yang paling besar YAB Datuk hadapi setelah menjadi Perdana Menteri?

Cabaran yang terbesar sekali ialah hendak menggerakkan semua orang, bukan sahaja pegawai kerajaan tetapi, semua penduduk di negara ini supaya sedar tentang tanggungjawab masing-masing, peranan masing-masing terhadap pembangunan negara, pembangunan yang bukan sahaja pembangunan material, tetapi juga yang memberi satu pencapaian spiritual.

Pepatah Inggeris berkata “manusia tidak dapat hidup dengan roti semata-mata”. Kita mesti ada sikap ingin mencapai sesuatu yang lebih baik (sense of accomplishment). sebagai satu bangsa, kita mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan orang lain supaya kita merasa terhina. Bagi saya ini sangat penting. Saya tidak mahu, kalau saya pergi ke mana-mana, kalau saya kata datang dari Malaysia. Orang berkata, ‘ah, orang Melayu malas’ ataupun seumpamanya sebagaimana dahulu. Saya dibesarkan dalam suasana seperti itu. Bagi saya inilah perkara yang saya tidak tahan sekali. iaitu bila orang kata Melayu pemalas dan penyegan.

Ini maksud saya bukan Melayu sahaja. Tetapi semua orang Malaysia. Apa jua pandangan orang luar terhadap Melayu. Sedikit sebanyak melibatkan lain-lain kaum di negara ini kerana bilangan orang-orang Melayu telah meliputi kaum-kaum lain. Jadi saya mahu orang menghormati Malaysia.

Jika ada satu perkara yang saya ingin melihat berlaku sebelum saya bersara ialah tentang perubahan sikap rakyat yang mana mereka lebih berdikari, lebih produktif dan lebih berkemampuan mempertahankan hak-hak mereka dan juga negara. Sesungguhnya saya mempunyai objektif yang sangat terhad.

Setakat ini tidakkah kita sudah mendapat penghormatan dalam beberapa hal di kalangan masyarakat antarabangsa?

Kalau dibandingkan dengan dahulu memanglah sekarang ini lebih ramai orang yang memberi penghormatan kepada kita. Tetapi kita belum lagi sampai ke tahap yang sama dengan negara-negara maju. Negara-negara membangun masih bersikap ‘patronizing’ terhadap kita. Jadi kita masih banyak lagi peringkat yang hendak dicapai, masih banyak perkara perlu buat.

Pada pandangan YAB Datuk, apakah tingkat perpaduan kaum di negara ini semakin bertambah baik daripada dahulu ataupun semakin bertambah teruk?.

Sekali lagi, perkara semacam ini adalah perkara relatif yang mana kalau kita bandingkan sekarang dengan masa depan, barangkali sekarang ini kita belum capai tahap yang patut kita capai. Kalau kita bandingkan negara kita dengan negara-negara lain yang mana penduduknya terdiri daripada berbagai kaum mungkin dianggap bahawa keadaan di negara kita adalah lebih baik. Tetapi kalau kita bandingkan dengan negara yang betul-betul berpadu umpamanya negara yang penduduknya terdiri daripada satu kaum kita belum sampai ke tahap itu. Kalau kita berkata kedudukan hubungan kaum di negara kita tidak baik itu tidak betul juga. Kalau tidak baik kita tidak mungkin mencapai kejayaan yang telah kita capai setakat ini. Tepat bagi kita berkata, kedudukan yang ada boleh diperbaiki lagi.

Cara MCA membuat tuntutan di akhir-akhir ini termasuk meminta kerusi Timbalan Perdana Menteri kedua terdiri daripada kaum Cina tidakkah ini merosakkan perpaduan yang sedang kita bina?

MCA membuat tuntutan. Memanglah dalam keadaan semacam ini, mereka mahu lebih bagi diri mereka. Kita pun mahu lebih bagi diri kita.

Bukan MCA sahaja, UMNO dan orang-orang Melayu pun mahukan lebih untuk dirinya. kadangkala bila kita sudah tentukan suatu matlamat tertentu ada orang berkata kita patut meminta lebih. Kalau kita kata 30 peratus ada yang berkata kenapa tidak 50 peratus dan kalau kita jadikan 50 peratus sebagai matlamat akan ada pula orang yang berkata kenapa tidak 70 peratus?. Jadi tuntutan yang semacam ini tidak dapat dielakkan yang penting ialah cara penyelesaian masalah-masalah yang semacam ini. Kalau kita mempunyai jentera yang boleh menyelesaikan masalah ini ianya adalah lebih penting daripada soal tuntutan itu.

Kalau sekarang ini semua pihak meminta lebih untuk diri mereka dan kalau pula kita terlalu sensitif dengan proses permintaan sahaja bukan lagi proses pencapaian ada permintaan sahaja kita sudah melenting. Saya fikir tidak boleh mencapai kestabilan ataupun ketenteraman dalam negara kita. Tengok tidak berapa lama dahulu ada seorang membuat ucapan mahu 50 peratus dan ada yang membuat ucapan kita mesti sekat ekonomi orang-orang Cina daripada berkembang. Semuanya ini tetap menimbulkan perasaan marah daripada orang yang menjadi sasaran. Dalam hal ini jika kita jadi sasaran kita marah jadi orang lain pun ada kalanya dia marah jika dia jadi sasaran. Apa yang telah saya jelaskan ialah perkara ini tidak harus menjadi isu kerana ianya sebenarnya tidak timbul. Dengan cara ini saya harap dapat menenteramkan keadaan.

Baru-baru ini YAB Datuk ada menyebut perkara Timbalan Perdana Menteri Kedua ini tidak patut dipertimbangkan sekarang. Boleh YAB Datuk jelaskan maksud perkataan sekarang itu?.

Saya kata dalam keadaan sekarang dan bukannya untuk sekarang. Dalam keadaan sekarang ini ertinya mungkin ianya berubah esok, mungkin tidak berubah 30 tahun lagi dari sekarang ataupun 50 tahun lagi. Kalau keadaan tidak berubah maka keadaan sekarang itu masih ada jadi tuntutan itu tidak kena pada tempatnya dan masanya.

Tetapi kalau pada suatu hari 30 tahun lagi ataupun besok yang mana semua penduduk-penduduk dalam negara kita sudah bersatu padu jadi keadaan sudah berubah. Pada masa itu mungkin boleh ditimbangkan bukan oleh saya barangkali tapi oleh orang lain atau mungkin juga oleh saya kalau saya masih ada ketika itu.

Mungkin di masa itu sudah tidak timbul Timbalan Perdana Menteri Kedua kerana mereka sendiri sudah boleh menjadi Perdana Menteri, begitu maksud YAB Datuk?

Oh itu saya tidak boleh tahu, saya tidak boleh kata tetapi yang harus kita ingat ialah mengikut perlembagaan perkara ini mungkin terjadi kerana tidak ada satu larangan secara khusus. Tetapi setakat ini keadaan tidak mengizinkan dan perkara ini telah diterima oleh Pemuda MCA dalam pertemuan dengan saya. Kalau keadaan berubah pada masa depan itu adalah masalah lain.

Dahulu pun MCA pernah membuat tuntutan yang sama tetapi telah ditolak oleh Allahyarham Tun Dr. Ismail dan lepas itu senyap sama sekali. Dan kini tuntutan itu timbul pula. Akah ini membayangkan kelemahan UMNO?

tidak ada kelemahan baik pada UMNO mahupun Pemuda UMNO. Kalau kita nak berkelahi pasal bercakap boleh kita berbuat demikian tetapi soalnya apa yang kita dapat? Apa yang kita capai adalah penting.

Soalnya nak bercakap siapapun boleh bercakap. Saya dulu pun masa saya duduk di luar kerajaan tidak ada kuasa saya pun bercakap banyak juga tetapi apa pencapaian saya ketika itu. Selain dari menyebabkan saya kalah dalam pilihanraya. Orang yang sepatutnya menyokong kerana saya cakap dan orang yang marah pada saya juga tetap tidak sokong oleh itu saya kalah.

Jadi apakah langkah-langkah yang patut kita ambil untuk mencapai perpaduan yang sejati?

Perasaan perkauman ini cuma boleh dihapuskan kalau keadaan semua kaum sudah menjadi seimbang iaitu tidak ada perbezaan daripada segi susunan masyarakat tidak ada keadaan yang mana kerja ini cuma orang lain sahaja boleh buat. Kerja itu cuma orang Melayu sahaja boleh buat dan kerja yang ini cuma orang India sahaja boleh buat.

Di waktu yang seimbang itu tidak ada perasaan ragu-ragu iaitu tiada perasaan bimbang yang satu kaum itu akan lenyap atau pun ditindas. Jadi masa itu masalah-masalah yang ada sekarang akan hilang. Sebab itulah dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) kita cuba menyusun semula masyarakat supaya pengenalan kaum dengan kerja itu dapat dihapuskan.

Tetapi sekarang ini pengenalan kaum dengan kerja masih wujud. Kita pun selalu berkata, pergi kedai Cina seolah-olah kedai mestilah Cina. Pada suatu hari nanti kita kata, pergi kedai Malaysia tanpa mempersoalkan sama ada kedai itu kedai Cina atau India atau Melayu.

Demikian juga dengan pekerja-pekerja, mereka tidak lagi memikirkan sama ada taukeh dia Melayu atau Cina atau India. Demikian juga dengan tuan punya kedai itu, beliau tidak kira sama ada pekerjanya Melayu, Cina atau pun India asalkan ada kebolehan bekerja mereka ambil.

Sekarang ini keadaan semacam itu belum wujud lagi, sebahagiannya kerana kaum itu sendiri dan sebahagiannya kerana masalah lain. Kadang-Kadang orang Melayu bila ada perusahaan mereka tidak mahu mengambil orang Melayu bekerja kerana kata mereka orang Melayu payah sikit, kalau buat kerja dengan kita nanti ambil Cina senang.

Perkara ini kita tidak boleh marah pada orang lain juga kerana hal ini ada benarnya. Cuba tanya pada kontraktor Melayu. Apakah mereka memberi sub-kontrak kepada orang-orang Melayu juga? Kerap kali dia sub-kontrak pada Cina kerana dia tahu, kalau diberi kerja itu pada Cina sudah tentu akan selesai.

Tetapi kalau kita semua bekerja kuat, rajin dan boleh buat semua kerja sudah tentu soal keturunan tidak timbul. Inilah yang saya terangkan kepada Pemuda MCA baru-baru ini. Soalnya bukan pegawai daerah itu Melayu atau Cina tetapi soal penerimaan masyarakat tempatan terhadapnya.

Kalau seseorang itu diterima oleh masyarakat di sesuatu tempat soal keturunan tidak timbul. Misalnya Encik Saw Chee Ling telah menjadi Pengarah Pelajaran bagi Pahang, Terengganu dan Kelantan selama 18 tahun. Orang Kelantan tidak mahu beliau berpindah sekali pun kalau hendak digantikan dengan orang Melayu. Kalau orang cina tahu bagaimana menyesuaikan diri dengan masyarakat atau pun orang-orang Melayu tahu menyesuaikan diri dengan taukehnya keturunan Cina, soalnya pemilihan yang berasaskan keturunan tidak timbul.

Terdapat keadaan sekarang ini di mana tiga buah parti Cina dalam Barisan iaitu MCA, Gerakan, dan PPP masing bersaing di antara satu sama lain untuk menarik sokongan kaum Cina. Demikian juga dengan India yang mempunyai MIC dan PPP. Idea Barisan Nasional diadakan ialah untuk melahirkan perpaduan rakyat tetapi keadaan yang ada ini tidak sedemikian. Apa pendapat YAB Datuk?.

Perkara mendapatkan lebih ramai penyokong ini tidak sahaja berlaku di kalangan masyarakat Cina dan India tetapi juga Melayu. Tetap kalau kita ambil kira ‘silent majority’ yang merupakan faktor penentu sebenarnya perkara ini tidak ada kesan kepada golongan majoriti ini.

Ini hanya dapat dibuktikan dalam masa pilihan raya di mana pemilihan mereka tidak berasaskan kepada ekstrim perkauman sebaliknya mereka lebih berasaskan kepada kestabilan. Sebab itu, sehingga ini parti-parti yang berhaluan sederhana secara perbandingan seperti kaum Cina dengan DAP, UMNO dibandingkan dengan PAS dan MIC dibandingkan dengan setengah-setengah orang India yang cauvanis masih menang. Orang yang berpihak kepada parti berhaluan sederhana ini masih merupakan majoriti.

Ekstremis mesti ada dalam semua kaum di waktu mana pun dan di semua negara. Jika tidak ekstremis berdasarkan keturunan akan ada ekstremis yang berdasarkan kelas ataupun ideologi. Kita harus ingat keadaan kita adalah lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa buah negara.

Adalah suatu yang semula jadi kepada masyarakat manusia mempunyai pembahagian. Misalnya di kampung-kampung Melayu dahulu sebelum ada parti politik terdapat kumpulan bendera putih yang berperang sesama sesama sendiri. Apabila ada UMNO dan Pas bendera merah masuk UMNO dan bendera putih masuk Pas. - UTUSAN ONLINE

 

  • Wawancara penuh dapat diperoleh dengan melanggani e-paper Utusan Malaysia menerusi www.digital.utusan.com.my atau muat turun aplikasi di Google Play atau App Store