Kenderaan rasmi Perdana Menteri diiringi peronda polis, dilihat memasuki perkarangan Pintu Satu Istana Negara kira-kira pukul 3.54 petang dan Dr. Mahathir sempat melambai tangan kepada pengamal media yang sedang membuat liputan.

Turut kelihatan menziarahi jenazah adalah kerabat-kerabat diraja, pemimpin besar negeri, barisan menteri Kabinet dan pemimpin tertinggi kerajaan.

Jenazah almarhum dijangka akan dibawa ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebelum diterbangkan menaiki sebuah pesawat khas ke Pangkalan Udara Kuantan dan dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang, untuk dimakamkan di Makam Diraja Pekan selepas solat Zohor esok.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - BERNAMA