Berucap kepada lebih 1,000 pemimpin pelajar antarabangsa dalam sebuah simposium di sini, beliau bagaikan seorang guru yang membimbing pelajar langkah demi langkah dalam menimba ilmu.

"Pertama sekali, seseorang pemimpin itu perlu mempunyai integriti dan kejujuran, jika tidak, pemimpin terbabit akan menjadi korup dan tidak boleh dipercayai.

"Seterusnya, pemimpin juga perlu bersedia untuk bekerja keras, bangga dengan tugas yang dilakukan. Selain itu, mereka mesti sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan peka kepada sebarang perubahan," katanya.

Khalayak muda yang menghadiri Simposium Kepimpinan Cendekiawan Universiti 2019 kali ke-10 di sini yang dirasmikan perdana menteri berusia 94 tahun itu jelas kelihatan terpesona.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan Asia Kim Solomon turut hadir pada majlis itu.

Dr. Mahathir berkata untuk menjadi pemimpin sebenar, "kita perlu memastikan bahawa kita berpegang kepada nilai murni sambil mengikuti perkembangan terkini berkaitan perubahan yang membawa kesan terhadap kita.

"Sememangnya, menjadi seorang pemimpin yang baik bukan hanya tentang menjadi bijak, sebaliknya perlu tahu dan mempunyai kebolehan untuk membezakan antara benar dan salah, baik dan jahat."

Perdana menteri berkata setiap orang adalah pemimpin pada suatu peringkat dalam hidup mereka.

"Seseorang itu menjadi ketua jika dia ada adik lelaki dan perempuan; seseorang itu adalah ketua jika dia menjadi presiden kelab atau kapten pasukan bola sepak. Dan apabila kita mula bekerja, sudah tentulah, kita akan bermula dari peringkat paling bawah dan perlu melaporkan kepada begitu ramai senior, namun kita juga akan mendaki dalam kerjaya dan akhirnya menjadi seorang ketua. - BERNAMA