Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Sazally Saidi berkata, tawaran itu akan dinikmati oleh pengguna di kedua-dua lebuh raya berkenaan bermula dari pukul 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada malam pertama hari raya, 5 Jun ini.

Katanya, kira-kira 316,000 pengguna di LDP dan 200,000 pengguna Kesas dijangka menerima faedah sempena pemberian diskaun itu yang merupakan amalan Litrak sejak 2010.

“Sejak tahun 2010 hingga 2018, sebanyak RM17 juta subsidi tol telah diberikan kepada pengguna di kedua-dua lebuh raya berkenaan pada setiap kali musim perayaan.

“Kami berharap menerusi langkah ini, ia memberi peluang bersama-sama dengan pengguna lebuh raya untuk berkongsi kegembiraan menyambut Syawal,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa dan Pengumuman Diskaun Tol di Kompleks Operasi Litrak, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Litrak turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad selain sumbangan pek dapur Syawal kepada 30 keluarga Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran kempen keselamatan jalan raya khusus untuk penunggang motosikal oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Aziz Abdullah. - UTUSAN ONLINE